Dua selebriti popular, Alif Satar dan Sherry Al Hadad berazam mahu mengikut jejak langkah pengacara ikonik yang pernah mengendalikan pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL) terdahulu apabila dipilih menjadi pengacara AJL 32 yang bakal berlangsung pada 11 Februari depan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Mengakui kagum dengan kredibiliti yang ditunjukkan pengacara AJL terdahulu, pasangan ini turut memberitahu yang mereka mempunyai cara tersendiri bagi memastikan semua pihak terhibur dan berpuas hati dengan persembahan yang mereka sajikan pada malam itu.

Komunikasi dua hala sangat penting.

Ketika ditanya bagaimanakah mereka mahu mencorakkan persembahan mereka pada malam itu, Sherry memberitahu untuk menjadikan persembahan mereka berjalan lancar, selain sefahaman, komunikasi dua hala juga sangat ditikberatkan.

“Saya percaya bila kita kerja atas pentas, kita bukan kerja seorang diri. Kita ada penerbit, pengarah dan ramai lagi. Kalau tak nak ikut arahan atau semua nak ikut kepala sendiri, memang susahlah. Setiap kali digandingkan dengan pasangan pengacara, saya akan cuba berinteraksi dengannya.

Serasi bersama.

“Tapi saya tak nafikan, pernahlah juga berdepan dengan mereka yang degil dan tak suka nak bincang. Jika begitulah caranya, tak akan kemana lah jawabnya,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Pernah digandingkan bersama sebelum ini menerusi program Rockanova, Alif menyifatkan Sherry sebagai pasangan yang sesuai disebabkan cara bekerja serta mempunyai pemikiran yang sama.

“Sebaik sahaja ditawarkan untuk mengacarakan program ini, saya bertanyakan kepada pihak produksi apakah mereka mahu saya seorang ataupun beramai. Bukannya apa, berdasarkan pengalaman, apabila terlalu ramai pengacara, acara itu pasti menjadi kucar-kacir.

Gembira digandingkan berdua.

“Apabila mendapat tahu saya bakal bergandingan dengan Sherry, saya teruja dan bersyukur sangat. Kebetulan kami memang sudah lama berkawan, jadi memang tak ada masalah untuk berkerjasama,” ujarnya.

Biasanya, dalam apa juga majlis hiburan yang besar, tumpuan pasti akan diberikan kepada pengacara. Apa yang mereka ucapkan di atas pentas, bahasa tubuh termasuk fesyen yang bakal mereka gayakan. Pantang silap sikit, pasti akan ada wira papan kekunci mengecam di alam maya.

Apakah Alif dan Sherry sudah bersedia untuk berdepan dengan situasi itu dan apakah perisai yang akan mereka sediakan untuk mengunci mulut netizen?

Barisan komposer, penyanyi, penulis lirik dan pengacara.

“Semua orang tahu AJL adalah acara anugerah yang berprestij dan pemenangnya dinilai oleh juri yang bertauliah. Justeru, kami sangat mengambil berat dari segi cara kami mengendalikannya dan salah satu darinya adalah skrip. Kami akan pastikan tiada lawak yang keterlaluan seperti mengenakan orang lain.

“Bukan cara saya untuk memalukan orang lain. Kami mahu meletakkan acara ini ditempat yang sepatutnya,” tegasnya.

Rizman dan Ruzaini suntik elemen fesyen.

Untuk AJL 32, TV3 turut memperkenalkan tema AJL 32 iaitu Fesyen & Muzik dan bertepatan dengan tema itu, trofi yang bakal dimenangi finalis turut disuntik dengan elemen fesyen apabila dihias penuh glamor iaitu berkilauan oleh pereka duo terkenal, Rizman Ruzaini.

Mengulas pemilihan tema itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak memberitahu ia adalah sebagai satu tanda penghargaan terhadap pereka fesyen yang selama ini memainkan peranan penting dalam perjalanan acara anugerah itu sendiri.

Barisan penyanyi yang bertanding.

“Kalau kita lihat, AJL banyak menampilkan penyanyi yang menggayakan pelbagai fesyen menarik dan antara yang melekat dalam ingatan adalah baju yang dipakai Ramlah Ram yang ada bentuk kunci dan hati. Begitu juga jika melihat kepada pemilihan fesyen terkini, Dayang Nurfaizah antara finalis yang dilihat peka dengan penampilannya di pentas.

“Pemilihan tema itu boleh dianggap sebagai cara kita untuk meraikan pereka fesyen. Muzik dan fesyen tidak boleh berpisah. Kami berasa tema dipilih pada tahun ini amat bertepatan,"katanya.