Dua dekad melayar rasa di arena muzik, Sheila On 7 (SO7) yang dijulang dek rangkaian dendangan berhantu pernah dibadai gelora hingga nama mereka seakan karam di tengah kebanjiran band baru.

Masa berlalu, kumpulan popular asal Yogjakarta, Indonesia itu mula belajar daripada kesilapan sekali gus cuba mendepani hari mendatang bersama kematangan walau dua anggotanya, Sakti dan Anton memilih jalan sendiri.

Tinggal berempat.

Kini biar tinggal Duta, Eross, Adam serta Brian yang menyertai SO7 kira-kira 10 tahun lalu, mereka kembali melebarkan pengaruh hingga satu persatu lagu mampu menarik kelompok pendengar baru.

Akui Duta selaku vokalisnya, setiap pengalaman serta peristiwa yang dilalui memberi pengajaran berbeza namun hakikatnya ia menguatkan lagi band mereka ditambah sokongan peminat iaitu Sheila Gank.

Bersyukur dengan sokongan Sheila Gank.

“Kami dewasa bersama Sheila Gank. Setiap perjalanan adalah laluan bersama. Jatuh, bangun itu lumrah tetapi pendengar setia muzik Sheila On 7 terus setia bersama kami.

“Itulah kekuatan kami selain perlu sentiasa berevolusi terutama dalam berkarya namun pada masa sama masih kental dengan jiwa dan identiti ‘bunyi’ kumpulan ini,” katanya ketika ditemui Rojak Daily Kaw! sehari sebelum Konsert Sheila On 7 Live in Kuala Lumpur 2018.

Promosi single baru.

Biar terbang ke Malaysia hanya sehari sebelum konsert berlangsung, Duta bersama sahabat sejatinya yang lain tidak lelah berkongsi cerita termasuk keterujaan menunggu malam konsert selain harapan masa depan.

Sempat mempromosikan single baru berjudul Film Favorit, akui vokalis itu hanya selepas 16 tahun mereka menggunakan khidmat komposer luar untuk produk baru.

Terima lagu komposer lain.

Tidak berselindung, katanya dalam transisi kematangan mereka baru menyedari sesuatu perlu dilakukan untuk menempa pembaharuan iaitu menyuntik nuansa luar tetapi masih beraroma lagu SO7.

“Ya, kami buang segala egois dalam bingkisan baru ini kerana mahukan aroma berbeza dengan mengambil lagu orang lain dan memberi sepenuh kebebasan untuk mencantikkan melodi dan liriknya.

“Barangkali semua keterbukaan ini hadir bersama kematangan dan peluang untuk meneroka sesuatu yang berbeza demi kepuasan kami dan juga pendengar setia SO7.

Tetap hasilkan album fizikal.

“Apatah lagi SO7 kini tidak lagi berpayung di bawah label dan syarikat rakaman sebaliknya sudah bergerak sendiri,” ulasnya lagi yang memang meneruskan tradisi menerbitkan album fizikal untuk penerbitan kali ini.

Bagi Duta, penjualan lagu secara digital tidak membataskan hasrat mereka mengeluarkannya dalam bentuk edisi terhad kerana memahami setiap penggemar tegar menganggap album fizikal sebagai koleksi sentimental.

7,000 peminat banjiri konsert.

“Kami juga mempunyai penyanyi pujaan dan rasa puas dapat menyimpan album fizikal mereka. Ia sesuatu yang dapat dijadikan koleksi istimewa untuk generasi seterusnya,” ujarnya lagi.

Sementara itu, aura kumpulan yang pernah dianggap sebagai band ajaib itu nyata menarik kehadiran 7,000 penonton yang memenuhi StarXpo di KWC Mall, Sabtu lalu.

Tetap hebat!

Pernah beraksi di lokasi sama dua tahun lalu, persembahan mega yang membariskan hampir 20 lagu termasuk yang dibawakan secara medley membangkitkan nostalgia kepada mereka yang membesar di era kebangkitan SO7.

Namun, jangan terkejut apabila lebih separuh ruang dewan terbabit dimonopoli remaja belasan tahun yang bukan hanya mampu menghafal bingkisan baru malah cukup ‘mesra’ dengan dendangan malar segar mereka.

Peminat dari pelbagai peringkat umur.

Bila Kau Tak Disamping Ku, Seberapa Pantas, Dan, Itu Aku, Pemuja Rahsia serta Sephia antara malar segar yang melonjakkan adrenalin ramai hingga masing-masing menyanyi sambil menari.

Masa seakan cepat berlalu dan pastinya andai menyelak semula repertoire dengan tujuh album studio yang sarat seleksi hebat, tentunya setiap penggemar punya pilihan sendiri.

Masih 'Pria Terhebat'.

Apa pun, aksi bertenaga mereka melakar sebuah lagi kenangan serta anugerah terindah yang pernah dinikmati penonton sekali gus membuktikan SO7 tetap ‘Pria Terhebat’.