Hanya mengambil masa penggambaran selama 9 hari dan 8 jam bekerja dalam masa sehari untuk menghasilkan sebuah filem cereka boleh dianggap mustahil atau kerja cincai. Namun, perkara itu dibuktikan pengarah tempatan Rizal Halim selepas berjaya menyiapkan filem cereka pertamanya, Lurking Woods yang menjalani penggambaran di Australia.

Filem genre suspen thriller ini akan menjengah pawagam pada 6 April ini adalah kolaborasi penggiat seni dari Malaysia sendiri yang mencipta pencapaian baru terhadap standard filem tempatan untuk menembusi pasaran filem antarabangsa. Rizal menjelaskan dia menerima pelawaan daripada Rodney Manikam sebagai produser selepas rakannya itu tertarik menonton filem pendeknya berjudul Still Life yang pernah ditayangkan di Cannes, Perancis selama 10 hari pada tahun 2014.

"Selepas itu dia menghubungi dan mempelawa saya mengarah filem cerekanya ketiga. Sasaran kami pada mulanya mahu buat filem aksi tapi ia memerlukan bajet besar. Jadi, kami bergabung idea sebelum menghasilkan filem bajet rendah," katanya ketika ditemui Rojak Daily Kaw! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rizal berkata, dia mencabar dirinya menghasilkan filem di luar negara meskipun berdepan masalah mendapatkan dana. Filem terbitan Rodman Pictures ini turut disertai Desmond Hew sebagai penulis skrip. Meskipun kejayaan Rizal bersama filem barunya ini masih belum diketahui jika diukur dari aspek kutipan tiket di pawagam tetapi pengalamannya ketika menyiapkan filem ini di luar negara boleh dijadikan panduan untuk dikongsi bersama pengarah tempatan lain.

Berikut 10 perkara menarik mengenai Lurking Woods:

1. Bajet

Filem ini menggunakan kos pembikinan sebanyak AUD$400,000 (RM1.36 juta). Jumlah itu dianggap bajet rendah dalam pembikinan sebuah filem cereka di Australia. Rizal mengakui ketika bekarya menerusi filem pendek, dia sukar mendapat bantuan. Namun, dia bersama rakannya berusaha mencari dana sendiri dan akhirnya mendapat bantuan daripada ahli perniagaan, doktor gigi dan jurutera sebelah rumah rakannya. Apa yang menghairankannya, jiran rakannya itu membantu menghulurkan duit tanpa sebarang perjanjian untuk mendapat pulangan sekadar atas dasar percaya.

2. Ramalan cuaca

Durasi penggambaran selama 8 jam sehari hanya dalam tempoh 9 hari filem ini disiapkan memang dianggap satu jangka masa yang pantas tetapi ia menimbulkan tanda tanya bagaimana ia boleh diselesaikan tanpa sebarang masalah khususnya membabitkan cuaca. Namun, Rizal menjelaskan bantuan ramalan kaji cuaca di sana sangat membantu sebelum proses penggambaran dijalankan. Sebagai contoh, sekiranya ramalan kaji cuaca melaporkan hujan turun jam 4.10 petang maka keputusannya memang tepat! Jadi, ia lebih mudah untuk memastikan sesuatu adegan itu dirakam tanpa gangguan cuaca buruk mahupun jika ada adegan hujan tidak perlu lagi khidmat bomba.

3. Penonton

Rizal menjelaskan filem ini sudah disiapkan dua tahun lalu tetapi dia hanya menayangkannya untuk tayangan perdana di sana pada tahun 2015. Sebaliknya, dia mahu filem ini terlebih dulu ditonton rakyat Malaysia sendiri. Katanya, maklum balas penonton di sana terhadap filem ini lebih kepada suatu yang positif dan memberi galakan pada penggiat seni sepertinya untuk terus bekarya. Malah, dia juga mengakui terkejut apabila ibu bapa kepada salah seorang pelakonnya yang membintangi adegan bogel dalam filem ini mengucapkan tahniah padanya atas hasil filemnya itu.

4. Adegan bogel

Bagi pembikinan filem di Malaysia sudah pasti adegan bogel tidak dibenarkan dan jika ada, ia akan dipotong Lembaga Penapisan Filem (LPF). Namun, Rizal menyatakan adegan bogel menjadi satu kemestiaan dalam filem di sana untuk pasaran antarabangsa. Persepsi penonton di sana pula adalah apabila pengarah menyelitkan adegan bogel, ia menunjukkan penggiat seni itu berani untuk melakukannya. Dalam filem ini memaparkan adegan seorang wanita sedang mandi. Rizal memberitahu penggambaran adegan itu dibuat dalam set tertutup yang hanya ditonton pengarah, pengarah fotografi (DOP), juruaudio dan jurukamera. Namun, bagi tayangan di Malaysia, dia melakukan 'zoom in' terhadap adegan itu yang tidak menampakkan pelakon itu berbogel secara keseluruhan.

5. Pengiktirafan

Persepsi segelintir penggiat seni terhadap filem yang meraih banyak pengiktirafan atau tayangan dalam pelbagai festival filem di seluruh dunia sebenarnya memberi maksud sebaliknya iaitu penonton enggan pergi menontonnya di pawagam. Menerusi kajian yang dijalankan Rizal sendiri merumuskan penonton beranggapan filem yang mempunyai banyak logo pengiktirafan dan tayangan pada poster filem memberi bayangan ia adalah filem 'art' yang membosankan dan akhirnya tidak ramai penonton pergi ke pawagam. Jadi, sebagai langkah selamat Rizal tidak mahu menghantar filemnya ini masuk ke festival filem sebelum ditayangkan melainkan ia dicalonkan untuk Anugerah Academy.

6. Masa penggambaran

Rizal lebih memilih penggambaran pada waktu siang sebagai cabaran padanya untuk mewujudkan elemen seram. Jelasnya, seorang pengarah menggalas cabaran paling penting adalah membawa cerita ke payar perak. Kebanyakkan adegan filem seram dibuat pada waktu malam kerana malam menjadi fakor membuatkan penonton berasa seram. Dia juga menambah beberapa adegan dalam filem ini tiada dalam skrip dan melakukan rujukan filem seram dengan menonton filem Annabelle sebanyak 10 kali manakala 15 kali menerusi Insidious. Baginya, sesiapa saja boleh membuat filem seram tetapi untuk menarik perhatian penonton ke pawagam adalah sukar kerana filem juga perlu mempunyai 'wow factor'.

7. Peralatan penggambaran

Setiap pengarah mempunyai cara tersendiri ketika menjalankan penggambaran mahupun mendapatkan syot terbaik dalam setiap adegan dirakam. Percaya atau tidak, filem ini tidak menggunakan tripod tetapi hanya 'steady cam' dengan dua jurukamera. Mengambil pengalaman sebagai pembikin filem bebas, Rizal menyatakan penggambaran untuk sehari atau dua hari tanpa bajet boleh dilakukan hanya dengan peralatan penggambaran yang ringkas. Begitu juga, filem ini menggunakan 'red cam dragon' yang mempunyai resolusi 6K sesuai untuk filem termasuk tayangan menerusi pawagam IMAX.

8. Genre seram

Timbul persoalan sama ada filem genre seram atau lazimnya dianggap filem hantu masih diterima penonton atau sebaliknya. Merujuk pada industri perfileman tempatan sendiri, filem seram pernah dijadikan isu apabila banyak filem genre ini diterbitkan sehingga mewujudkan satu musim cerita seram dan akhirnya penonton jadi bosan. Namun, Rizal mengakui cabaran menghasilkan filemnya kali ini juga besar kerana dia tidak mahu jangkaan penonton terhadap elemen seram yang mahu ditonjolkan. Baginya, genre seram mempunyai ramai peminat di seluruh dunia dan dia tidak mahu menjadi pengikut filem seram tetapi menampilkan sesuatu karya berbeza. Rizal juga mencabar dirinya untuk menampilkan elemen seram dalam adegan pada waktu siang.

9. Kutipan tiket

Apabila jumlah penonton kurang ke pawagam, ia secara tidak langsung memberi kesan terhadap kutipan tiket. Bagi Rizal, menghasilkan filem dalam versi bahasa Inggeris memberi kelebihan kerana ia boleh dijual untuk tayangan di negara lain di serata dunia. Jelasnya, selepas tayangan di Malaysia filem ini dijangka akan menemui penonton di Australia pada tahun ini dan kemudian ke Jepun.

10. Tayangan perdana

Lazimnya, setiap filem baru akan dipertontonkan kepada jemputan seperti rakan artis, pihak media dan tetamu khas menerusi acara tayangan perdana. Di Malaysia, senario tayangan perdana adalah merupakan tayangan secara percuma tanpa dikenakan sebarang bayaran apatah lagi ditayangkan secara eksklusif lebih awal kepada tetamu sebelum tarikh tayangan sebenar. Sebaliknya, 'budaya' tersebut berbeza di Australia kerana ia mengenakan caj tiket ketika tayangan perdana. Apa yang mengejutkan Rizal adalah sambutan yang diterima adalah sangat positif dan di luar jangkaan.