Artis berkening lebat, Elfira Loy menyifatkan tuduhan yang dia kononnya menjadi punca keretakan rumah tangga pasangan Nazim Othman dan Bella Dally sebagai tidak berasas dan mengarut.

Secara jujur, si genit itu juga berkawan baik dengan kedua mereka. Malah benar-benar terkejut dengan pengumuman perceraian yang dilakukan mereka di Instagram pada awal Ramadan lalu.

Hanya berkawan baik.

“Hanya kerana sekeping foto yang dimuat naik Nazim ketika mempromosikan sebuah jenama jam tangan, pelbagai spekulasi mula bertebaran. Tambah pula kedua mereka juga memilih untuk tidak berkongsi lanjut punca perpisahan.

“Saya pun pelik kenapa spekulasi ini bertebaran dan timbul, sedangkan kami memang berkawan baik. Saya harap tuduhan sebegitu tak perlu lagi diperkatakan. Ia macam childish,” katanya.

Kata Elfira lagi, dia pasti kedua pasangan itu sudah mempertimbangkan sebaik mungkin sebelum mereka berpisah.

Doakan yang terbaik untuk mereka berdua.

“Mereka nyata sudah mengkaji baik buruk sebelum mengambil keputusan berpisah. Kita doa yang baik baik untuk mereka,” katanya yang baru -baru ini berlakon dalam dua buah telefilem masing-masing Mr Stailista yang membabitkan Nad Zainal dan Redza Rosli, serta Striker Hati Ayah yang dilakonkan Saiful Apek dan Adam Lee.

Program bual bicara di Instagram.

Dalam perkembangan lain, Elfira berjaya merealisasikan impian memiliki program bual bicara sendiri yang disiarkan di Instagram, The ElLive, sejak Mac lalu.

Program terbabit bersiaran selama sejam di laman sosial berkenaan.

“Sebenarnya, saya sudah lama mengimpikan program bual bicara sendiri. Cuma kalau di TV, pasti ada batasannya, selain menanti peluang datang.

Mahu cipta kelainan.

“Saya mahu mencipta kelainan dengan merealisasikan rancangan itu di Instagram. Saya juga berbangga kerana program ini adalah yang pertama menggunakan Multi Camera Production (MCP).

“Saya lihat, inilah masa yang sangat sesuai untuk muncul dengan program terbabit. Saya juga berasakan, bersama sokongan peminat dan penyokong muda, mereka boleh kenal saya dengan lebih dekat serta melihat bagaimana saya melalui kehidupan menerusi program ini.

“Saya sendiri sudah berdepan macam-macam perkara. Jadi, saya rasakan amat sesuai dan molek untuk saya berkongsi pengalaman itu dengan remaja lain,” katanya.

Ambil Oprah sebagai contoh.

Menurut Elfira, program itu sangat istimewa buat dirinya dan disiarkan secara langsung sebulan sekali.

“Ia diadakan di hadapan tetamu saya, yang juga kalangan pengikut di Instagram.

“Ditambah minat saya terhadap personaliti terkenal, Oprah Winfrey, program ini turut mempunyai konsep seperti rancangan kendaliannya. Saya akan berikan kejutan, termasuk hadiah dan barangan," katanya yang masih mencari input dan topik dari masa ke semasa bagi program berkenaan.