KAW
Masa Depan 33 Bakal Graduan AIFA Gelap Jika Gagal Dapat Pinjaman PTPK
Ketika produser dan juga pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri menunaikan impiannya menubuhkan Ahmad Idham Film Academy (AIFA) di Nusajaya, Johor, tiga tahun lalu, dia cukup teruja kerana ia bukan saja menjadi platform melatih generasi belia mendapatkan pendidikan yang diiktiraf kerajaan untuk pasaran kerja dalam industri hiburan tempatan tetapi menyahut usaha kerajaan melahirkan 50 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Pada masa itu, dia juga berpandangan penubuhan AIFA tepat kerana adanya Pinewood Iskandar Malaysia Studios bertaraf antarabangsa dijangka membuka ruang lebih besar pada anak tempatan khususnya graduan AIFA untuk mendapat kerja. Namun, sangkaannya itu meleset apabila hab perfileman negara itu didakwa tidak menerima graduan AIFA.
Persoalannya, mengapa perkara ini berlaku sedangkan di peringkat awal mereka bekerjasama untuk membangunkan industri perfileman khususnya membabitkan graduan tempatan bekerja dalam bidang ini. Justeru, Ahmad Idham tidak berputus asa selepas mengambil keputusan drastik menutup pusat pengajian itu di sana sebaliknya berpindah ke Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Meskipun berpindah, fokusnya dalam mendidik golongan belia tempatan memperolehi Sijil Kemahiran Malaysia dibawah Kementerian Sumber Manusia tetap diteruskan.

Ahmad Idham berbincang dengan pelajarnya yang berdepan masalah tidak mendapat pinjaman PTPK. (Gambar: Ahmad Idham)
Akuinya, ketika ini pelajar tahap 4 yang juga tahun akhir peringkat diploma berdepan kesulitan untuk menyambung pengajian selepas tidak lagi menerima bantuan daripada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK). Apa yang menyedihkan, pelajarnya yang sebelum ini mendapat bantuan kewangan terbabit diberitahu tiada kuota atau pinjaman lagi untuk mereka meskipun bakal menamatkan pengajian pada tahun ini.
Sebagai 'pengetua', Ahmad Idham tidak tergamak memberhentikan pengajian 33 pelajar tahun akhir ini biarpun ada antara mereka terpaksa mencari duit sendiri untuk membayar yuran pengajian. Ahmad Idham meluahkan dia menceburi bidang pendidikan menerusi Sijil Kemahiran Malaysia ini selepas mengetahui bidang dalam industri kreatif tidak banyak diwujudkan.
"Saya bukan mengharapkan keuntungan menerusi AIFA tetapi mewujudkan platform untuk pelajar masuk ke dalam industri perfileman hari ini. Adanya saluran yang betul seperti ini, sebanyak 80 peratus pelajar AIFA sudah 'ditempah' pihak produksi dan ada antara mereka sudahpun bekerja.
"Namun, apa yang menjadi tanda tanya adalah peruntukan sebanyak RM280 juta oleh kerajaan kepada PTPK sebelum ini tetapi boleh berlaku ketiadaan kuota. Adakah berlaku salah agihan atau ketirisan di peringkat tabung pinjaman itu sendiri?," katanya dalam pertemuan eksklusif bersama Rojak Daily Kaw! di Petaling Jaya, Selangor, kelmarin.

Ahmad Idham mendakwa Pinewoods Iskandar Malaysia Studios menyatakan kursus yang ditawarkan AIFA bukan standard antarabangsa. (Gambar: Pinewood Iskandar Malaysia Studios - Facebook)
Tambahnya, AIFA di Kota Damansara mula beroperasi pada Ogos tahun lalu selepas kampus pertamanya di Nusanjaya terpaksa ditutup atas faktor tiada peluang kerja untuk graduannya seperti mana dijanjikan sebelum ini.
"Bukan tutup sebab tiada pelajar tapi pihak Pinewood Iskandar Malaysia Studios sendiri tidak mengiktiraf Sijil Kemahiran Malaysia. Mereka kata tempat itu sebagai lokasi pembikinan filem bertaraf antarabangsa manakala kursus yang ditawarkan AIFA bukan standard antarabangsa.
"Kita sepatutnya mengantarabangsakan Sijil Kemahiran Malaysia apatah lagi ia diiktiraf Kementerian Sumber Manusia. Ada baiknya jika kerajaan melihat kembali Insentif Filem Di Malaysia (FIMI) yang diberikan sebelum ini untuk menyokong Pinewood Iskandar Malaysia Studios sama ada ia disalurkan ke dalam industri kreatif tempatan atau sebaliknya.
"Persoalan juga apakah kelebihan yang dinikmati penggiat seni tempatan sendiri jika dana atau insentif sedia ada sekadar untuk 'pancing' produksi luar negara sedangkan matlamat asal kerajaan cukup baik adalah mewujudkan Pinewood Iskandar Malaysia Studios sebagai platform untuk membuka ruang dan melatih anak tempatan terbabit dalam industri perfileman," katanya.
Must-Watch Video