Kalau sebut mengenai Budak Baru Nak Up (BBNU) dalam bidang nyanyian, confirm nama Aiman Tino, Sufian Suhaimi atau Haqiem Rusli yang terlintas.

Namun bukan hanya mereka yang sedang menempa nama dalam industri ini. Ramai lagi sebenarnya dan 10 bintang ini juga antara yang bakal bersinar menerusi satu pentas besar iaitu Big Stage terbitan Astro!

Seramai 10 bintang ‘BBNU’ terdiri daripada lima bintang lelaki dan lima bintang wanita bakal bersaing di pentas utama Big Stage selama 8 minggu untuk musim pertama.

Andi Bernadee antara yang bersaing.
Antara yang bakal berentap adalah Afieq Syazwan, Andi Bernadee, Ariff Bahran, Syafiq Farhain, Tajul, Baby Shima. Fara Hezel, Sarah Suhairi, Sissy Imann dan Wani Kayrie.

Sistem penjurian agak berbeza kerana nasib bintang ini akan diadili berdasarkan pemarkahan barisan juri profesional dan undian peminat secara online.

Sissy Imman turut berentap.
Bahagian pertama 100 peratus keputusan ditentukan oleh juri. Tiga bintang mendapat markah terendah akan melalui proses penjurian untuk bahagian kedua yang ditentukan secara atas talian menerusi Tik Tok. Bintang yang mendapat undian terendah akan disingkirkan.

Juri pula bukan biasa-biasa kerana menampilkan ikon muzik Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir. Alif Satar dan Sherry Al Hada pula diberi tugas sebagai pengacara.

Juri yang bakal mengadili BBNU.
Juara Big Stage akan membawa wang tunai RM100,000 berserta trofi sumbangan Astro.Tempat kedua dan ketiga pula membawa pulang RM50,000 dan RM25,000. Untuk pemenang keempat dan lima masing-masing bakal bawa pulang RM10,000 dan RM5,000.

Big Stage mula bersiaran secara eksklusif 5 Ogos ini di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) serta boleh diakses menerusi perkhidmatan Astro Gempak, Astro Go, Njoi Now dan On Demand.

Jenama telefon pintar Vivo hadir selaku penaja utama dan aplikasi video popular, Tik Tok pula selaku platform rasmi undian online.