Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
KAW

Nabila Tidak Mahu Terikat Dengan Komitmen Yang Banyak

Mohamad Bakar 20/07/2017 | 01:32 MYT
Andai Nabila Huda berlakon dalam filem Blok 404, pasti ia akan melengkapkan lagi kesempurnaan tiga pelakon asal cerita itu ketika ia diterbitkan dalam format VCD kira-kira 16 tahun. Benar naskhah cemas dan seram, Blok 404 ini suatu ketika dulu mencipta fenomena tersendiri ketika diarahkan Silver Chung.

Namun hanya Zamarul Hisham, Boy Iman dan Raja Azrey saja pelakon asal yang terbabit kali ini. Ia turut dibantu deretan wajah baru dan berbakat besar seperti Fasha Sandha, Nur Risteena Munim, Amar Asyraf, Nadia Brian Aedy Ashraf dan Adrea Abdullah. Tak ketinggalan Kamal Adli, Ozlynn Waty, Syamsul Yusof, Riz Amin dan Taufik Hanafi. Untuk versi filem, Azma Aizal Yusoof memikul tanggungjawab sebagai pengarah.

Terikat dengan drama 100 episod.
Pastinya ketiadaan anak rockers Amy Search itu di layar perak untuk filem terbabit mengundang tanda tanya selain kehampaan di kalangan peminat Blok 404 yang sudah lama menantikan kesinambungan cerita ini. Nabila ternyata sangat sinonim dengan Blok 404. Cuma dua pelakon asal lain seperti Faizal Yusof dan Ahmad B sudah meninggal dunia.

Menjawab kepada hal itu, ibu kepada Keisha Laila itu bagaimanapun tidak mampu untuk menyertai barisan pelakon filem itu kerana sudah terikat dengan penggambaran drama 100 episod, Dendam Aurora yang kini masih berbaki 50 peratus penggambarannya. Drama itu terbitan Global Station Sdn Bhd dan turut dibintangi Ungku Ismail, Anzalna Nasir dan Shah Iskandar dan sudah memulakan siarannya hari ini (Rabu) di Astro Ria dan Ria HD.

Tidak mahu terkejar-kejar buat kerja.
“Memang saya dengar ada yang cakap sayang kerana tak turut serta berlakon filem Blok 404. Ada yang cakap, kenapa saya tak buat cerita yang cukup ‘epik’ ini. Namun harus saya jelaskan dengan komitmen yang sudah saya mulakan menerusi drama Dendam Aurora, saya terpaksa menolak tawaran berlakon filem itu.

“Tambah pula saya pegang watak utama dalam drama itu. Saya tak mahu terkejar-kejar buat banyak kerja dalam satu masa. Saya menolak tawaran berlakon filem Blok 404 kerana tak mahu menyusahkan sesiapa. Saya tak boleh nak memuaskan ramai hati ketika ini sekalipun yang terbabit ialah kawan sendiri. Saya kena bersikap pentingkan diri.

Terpaksa lepaskan peluang berlakon di bawah arahan teman baik.
“Watak dan komitmen saya untuk Dendam Aurora pun sangat meletihkan dan memerlukan komitmen yang jitu. Bayangkan saya sampai jatuh sakit. Saya memang tak mampu nak bekerja dengan berkejar -kejar ke lokasi berbeza lagi saat ini,” kata Nabila.

Ungkap Nabila lagi, dengan baki penggambaran yang masih ada, dia hanya mahu memikirkan tenaga dan kesihatan dijaga dengan baik supaya dapat terus melunaskan komitmen untuk drama yang menghiasi slot Tiara di Astro itu.

“Saya tak boleh menerima tawaran berlakon filem itu sekalipun penggambaran diadakan pada waktu malam contohnya. Bayangkan esoknya saya kena bangun awal untuk ke lokasi penggambaran drama Dendam Aurora pula.

“Saya kena konti dan emosi muka kerana banyak babak heavy dilakonkan untuk drama ini,” katanya.

Sekalipun teman baik, Azma sendiri yang mengarah filem itu, Nabila tidak mampu berbuat apa-apa lagi.

“Ikutkan saya sendiri pun tak nak lepaskan peluang bekerja di bawah arahannya selepas sekian lama berdiam diri.

Jangan terus buat Nabila rasa bersalah.
“Cuma janganlah terus buat saya rasa bersalah kerana tak menerima tawaran filem itu,” katanya.

Kata Nabila lagi, dia kini harus meletakkan keutamaan kepada perkara yang sudah diberikan pengesahan awal.

“Filem Munafik 2 pun saya tak dapat buat, apatah lagi filem Blok 404. Munafik 2 pun sebenarnya memerlukan komitmen saya untuk dua tiga hari. Tapi saya terpaksa lepaskan juga dengan rela hati.

“Kalau sesuatu tawaran itu dirancang awal, mungkin saya boleh susun jadual sebaik mungkin. Saya tak mahu jadi pelakon yang menyusahkan pihak produksi yang sewenang-wenangnya memberikan notis cuti hanya kerana nak kejar benda lain. Saya tahu mahu kerjaya saya jadi busuk dan rosak kerana bersikap sebegitu,” katanya.

Barisan pelakon, penerbit dan pengarah filem Blok 404.
Menurut Penerbit Eksekutif filem Blok 404, Kamisah Hj Abd Manap atau Kam, usaha menyatukan kembali bintang asal Blok 404 dengan disokong pelakon lain sudah lama difikirkan dan akhirnya menjadi kenyataan.

"Impak cerita ini sangat bagus suatu ketika dulu, jadi kenapa tidak kita kumpulkan semula pelakon yang masih ada. Pihak kita juga berusaha untuk mendapatkan pelakon asal Nabila Huda, namun dia ketika ini terikat dengan kerja lain.

“Alhamdulillah pihak penerbit DBI Entertainment juga berjaya mendapatkan pelakon terkenal untuk memberikan rencah lain dalam filem ini. Penggambaran filem ini juga masih berbaki sehari yang akan diadakan tak lama lagi,” kata Kam.

Menurut Kam lagi, versi filem juga tidak mempunyai kaitan dengan tele filem berkenaan.

"Ia sebuah cerita baharu dan bukan kesinambungan kepada kisah lama.

#pelakon #Pelakon #Pelakon