Ketika ini nama pelakon Eyra Hazali pantas mencuri tumpuan selepas drama lakonannya, Mr. Grey mendapat perhatian selepas bersiaran di Astro Ria.
Memegang watak Nisa Ardina, kelebihannya bercakap loghat Utara juga membuatkan ramai yang terpana.

Pelakon berusia 19 tahun yang dihubungi Rojak Daily Kaw! itu sendiri tidak menduga drama berkenaan mendapat sambutan positif hingga trending di internet.

Sambutan luar biasa.

“Jujur memang masa menjalani penggambaran drama ini, saya tak jangka akan dapat sambutan luar biasa di kalangan penonton drama serta peminat.

“Loghat utara saya juga dipuji. Saya ini bukanlah asli berasal dari Utara. Cuma kelebihan itu ada kerana ayah dan datuk saya berasal dari Pulau Pinang. Jadi tidaklah kekok bercakap Utara.

Loghat Utara jadi tumpuan.

“Saya juga berterima kasih kepada penonton dan peminat yang memberikan komen serta pandangan positif terhadap drama ini. Malah kebanyakan sangat berpuas hati dengan lakonan saya. Sampaikan saya keluar di depan khalayak pun ramai yang sudah panggil nama watak Nisa Ardina. Lucunya sampai ada yang cuba bercakap loghat Utara seperti saya apabila bersua,” katanya.

Watak Nisa Ardina.

Impak drama 20 episod yang akan berakhir siarannya pada 10 Mei depan ini juga cukup besar buat Eyra atau nama sebenarnya Hazirah Qasdina Hazali.< p/>

“Alhamdulillah selepas muncul dengan drama itu, ramai penerbit dan pengarah yang menghubungi saya kerana mahu menawarkan watak untuk penerbitan drama mereka.

“Sebenarnya ramai tak menyangka saya boleh membawa watak seperti Nisa Ardina. Iyalah selepas ini watak yang saya terima agak klise. Ramai yang mula memandang bakat saya selepas drama itu sekalipun saya sudah berlakon sejak kecil lagi. Saya bersyukur biarpun lambat mendapat perhatian.

Waris bakat keluarga.

Setiap orang ada laluan dan cara tersendiri dalam hidup serta kerjaya,” katanya.

Eyra memberitahu dia mewarisi bakat seni daripada keluarganya.

“Darah seni memang mengalir dalam keluarga saya. Ayah saya sendiri seorang pengarah drama. Malah adik beradik saya yang lain pun turut berlakon sejak kecil. Kami meneruskan kelangsungan legasi seni. Ayah dan ibu pun tak menghalang selagi soal pelajaran diutamakan. Drama Zoo The Series dan Supersmash yang disiarkan di Astro Ceria antara yang memperkenalkan nama saya di persada seni.

Ingin kembangkan bakat pengacaraan.

“Malah saya juga pernah diberikan peranan utama dan heroin. Antaranya seperti Tiang Seri, Hanya Untuk Bonda dan terbaharu, Samudera Rindu. Saya juga pernah mencuba bakat sebagai pengacara. Tapi rasanya forte saya lebih kepada lakonan. Tapi saya rasa tak salah untuk mengembangkan bakat pengacaraan. Menyanyi pula setakat di pusat karaoke sajalah,” katanya.

Pernah menang Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik.

Eyra mula berlakon sejak usia enam tahun. Dia pernah diberi peluang menghiasi video muzik Anuar Zain, Andainya Takdir. Melakonkan watak sebagai anak kepada pasangan suami isteri lakonan Anuar sendiri dan Sharifah Sakinah, Eyra meneruskan fasa dewasa yang terlebih dahulu watak anak berkenaan ketika kecil dilakonkan Puteri Balqis.

Lakonannya di dalam telefilem Anak Anak Lorong yang disiarkan di Astro Prima pernah diiktiraf. Eyra ketika itu berusia 11 tahun dan dinobatkan sebagai Pelakon Drama TV Kanak-Kanak Terbaik ketika berlangsungnya Anugerah Sri Angkasa 2010.