Ternyata penyanyi wanita ini antara yang bertuah apabila kemunculan semulanya dalam arena seni terus menjadi dan diterima baik peminat. Siapa lagi kalau bukan Siti Nordiana yang mula mencuri tumpuan selepas menyertai rancangan realiti Gegar Vaganza 2.

Pada Anugerah Meletop Era (AME) 2017 Ahad lalu, Siti Nordiana atau mesra dipanggil Nana menewaskan dua calon pilihan bagi kategori Penyanyi Meletop iaitu Datuk Siti Nurhaliza dan Ayda Jebat.

Anggap kejayaan adalah rezeki yang sudah tertulis.

Rojak Daily Kaw! bertemu dengannya sebaik di belakang pentas selepas dinobatkan sebagai pemenang. Nana akui, dirinya sendiri terkejut sebaik diumumkan sebagai pemenang.

"Nana memang tidak menyangka akan menang. Lebih-lebih lagi berdepan dengan saingan hebat dan nama besar.

"Bagi Nana ini semua rezeki dan terima kasih kepada semua peminat yang mengundi dan bersusah payah untuk Nana," katanya.

Suntik semangat untuk berikan yang terbaik kepada peminat.

Penyanyi dan pelakon itu mengaku drama rantaian Dia Semanis Honey antara faktor yang menyumbang kepada kejayaannya dan tidak putus mengucapkan terima kasih kepada peminat.

"Bagi saya ini semua adalah rezeki yang sudah tertulis. Tidak timbul soal siapa yang lebih hebat atau sebaliknya. Saya percaya masing-masing mempunyai peminat tersendiri.

"Kemenangan ini juga penyuntik semangat untuk saya terus memberikan yang terbaik kepada peminat," janjinya.

Drama Dia Semanis Hati banyak membantu populariti Nana.

Nana turut membuat persembahan pada malam AME2017 berduet bersama Hafiz Suip menerusi rangkaian lagu popular drama rantaian Selamanya Cinta yang menjadi lagu latar drama Suri Hati Mr Pilot.

Beliau turut menyanyikan lagu Lelaki Teragung yang menjadi lagu latar Tujuh Hari Mencintaiku dan Dirgahayu bagi drama Lara Aishah.

Nana dalam persalinan anggung rekaan Lumiere Concept itu khabarnya hampir meninggalkan majlis selepas membuat persembahan, namun diminta tunggu oleh seseorang.

Mujur Nana tidak pulang, jika tidak siapa pula yang mahu mengambil trofi kemenangannya.