Berkarisma, bijak, berwawasan dan paling penting mempunyai pengaruh yang cukup besar di laman sosial menjadi faktor utama pelakon dan pengacara terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor dilantik sebagai duta belia Transformasi Nasional (TN50) seperti diumumkan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Khairy Jamaluddin baru-baru ini.

Mengulas pelantikannya itu, Neelofa atau lebih mesra disapa Lofa menjelaskan kesediaannya melaksanakan tanggungjawab terbabit disebabkan keinginan melihat Malaysia terus maju, sekali gus memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Mahu yang terbaik untuk generasi akan datang.

“Bergelar artis semestinya satu batu loncatan untuk Lofa, tetapi Lofa rasa, status sebagai rakyat Malaysia, jauh lebih penting. Lofa mahukan yang terbaik untuk Malaysia dan generasi akan datang, jadi Lofa berazam untuk mengunakan segala peluang yang Lofa ada untuk mempromosi idea dan aspirasi TN50,”katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Pun begitu, apabila seorang berstatus selebriti terbabit dalam agenda sebegini, pasti akan ada yang bersikap sinikal. Justeru sebelum menjadi isu, Pengacara TV Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 ini meminta supaya pelantikannya itu tidak dipolitikkan mana-mana pihak.

Jangan kaitkan perlantikan ini dengan politik.

“Pelantikan berkenaan perlu dilihat dari perspektif lebih meluas. Tidak perlu kaitkan TN50 dengan politik kerana agenda itu melangkaui pemahaman atau pun perbezaan politik. TN50 ialah proses untuk kita merangka hala tuju negara dalam masa 30 tahun akan datang.

"Lofa juga berharap tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan mengaitkan Lofa dengan mana-mana parti politik kerana apa yang dilakukan untuk TN50 adalah soal tanggungjawab sosial Lofa sebagai belia yang cinta dan sayangkan negara,"kata wanita berusia 28 tahun ini.

Menyifatkan prinsip TN50 yang mahu mendengar sendiri pandangan anak muda belia dari akar umbi sebagai sesuatu yang harus dipuji, Neelofa mengharapkan peluang yang diberi itu digunakan sebaiknya oleh golongan belia.

Jangan bimbang untuk bersuara.

“Kita sering mendengar keluhan, yang suara anak belia ini kurang didengari. Inilah masanya untuk setiap belia tampil, kongsi idea dan aspirasi anda. TN50 perlu diberi pandangan serius kerana ia adalah pelan jangka masa panjang negara, selepas negara memasuki tahun 2020.

“Jangan takut untuk bersuara! ini peluang terbaik anda. mungkin ada yang menganggap idea atau aspirasa anda "terlalu kecil" tetapi percayalah, sekecil mana pun idea anda, ia sangat berguna untuk memastikan kesinambungan kemajuan negara Malaysia,” ujarnya.

Mahu wanita jadi majikan kepada diri sendiri.

Memandangkan peluang sudah terbentang di depan mata, selebriti yang mempunyai pengikut berjumlah hampir lima juta orang di Instagram itu berkata, beliau mempunyai banyak idea untuk diketengahkan, terutama soal wanita dan pendidikan kerana dua elemen ini amat penting dalam pembangunan sesebuah negara.

"Lofa mahu menggalakkan lebih ramai golongan wanita berani menceburi bidang perniagaan atau dalam bahasa mudah, menjadi majikan kepada diri sendiri. Lofa dapat lihat, jumlah wanita yang menceburi bidang bisnes sangat kurang.

Respons peminat jadi pengukur.

"Selain itu, Lofa juga mahu mengetengahkan idea pendidikan tanpa sempadan. Jadikan sistem pendidikan kita lebih menyeluruh dan holistik dari segi teori serta praktikal,"katanya yang turut memenangi trofi Artis Berpengaruh Di Laman Sosial pada ABPBH baru-baru ini.

Tambahnya, tugas yang disandangnya itu juga boleh menjadi kayu pengukur sejauh mana pengaruhnya di media sosial.

“Tidak keterlaluan jika Lofa katakan, pelantikan ini boleh dijadikan kayu pengukur sebenar pengaruh media sosial Lofa. Jika selama ini, jumlah "likes" menjadi kayu pengukur, kini, respons pengikut dan peminat Lofa, boleh dijadikan kayu pengukur kepada pelantikan ini,”kata usahawan tudung ini.

Pelantikan itu menjadikan TN50 kini memiliki 23 duta belia yang berjaya dalam bidang masing-masing, selepas 13 individu dipilih bulan lalu.