Bintang jelita dan ahli perniagaan terkenal, Nora Danish hari ini mengambil tindakan undang undang terhadap Fasha Sandha kerana bertindak melulu memuat naik keterangan berunsur fitnah di laman Instagram miliknya yang disifatkan pelakon berkenaan menjatuhkan maruah dan mencalar reputasi perniagaan Owl By ND diusahakannya.

Nora melakukan hal itu kerana tindakan Fasha yang mengaitkan dirinya tanpa usul periksa dengan membuat kesimpulan kononnya dia dihalau oleh pihak Nora ketika berlangsungnya acara fesyen Fenomena Raya 2017 dianjurkan pihak Glass Go 10 Mei lalu.

Nora mengadakan sidang akhbar.

"Umum tahu sengketa antara kami berlarutan sejak lapan ke sembilan tahun lalu. Tetapi selama ini saya lebih banyak berdiam diri terhadap apa yang dilakukan. Namun tindakannya baru baru ini sukar dibendung lagi.

"Tak wujud istilah kononnya pihak saya yang menghalau dia daripada terus menghadiri pertunjukan fesyen berkenaan. Kenapa perlu saya nak halau dia sekarang. Saya tak tahu menahu pun apa yang dituduhnya. Selama ini pun ada acara yang dihadiri kami bersama, tapi saya profesional.

Perniagaan terkesan akibat tuduhan yang dibuat.

"Saya terpaksa mengambil tindakan undang undang ini kerana cukup terkesan dengan apa yang dilakukannya. Perniagaan saya terkesan apabila ada yang mahu pulangkan baju dan tak mahu menyokong lagi apa yang saya keluarkan," katanya sejurus selesai pertunjukan fesyen Gaya Koleksi Raya 2017 di Publika malam tadi.

Malah tindakan itu turut didorong dengan statusnya kini yang sudah bergelar isteri kepada Nedim Nazri.

Menyerahkan segalanya pada pihak peguam.

"Saya ada suami, keluarga dan keluarga mentua yang mempunyai hati dan perasaan. Saya juga bukan jenis manusia yang menyalahgunakan laman sosial media untuk menjatuhkan maruah pihak lain.

"Selepas ini juga saya tidak akan mengeluarkan kenyataan dan hanya menyerahkan semua kepada pihak guaman," katanya.

Sementara itu Pengarah Glass Go Media, Amir Rizuan Ali mengambil tanggungjawab penuh di atas sengketa yang berpanjangan terjadi antara Fasha dan Nora.

"Apa yang berlaku tak membabitkan Nora. Tak ada wujud istilah Tarik diri dan halau yang dikatakan Fasha.

"Pihak saya tengah berusaha untuk selesaikan perkara ini," kata Amir.

Sindiran yang dibuat melampaui batas.

Terdahulu Fasha sejak Khamis lalu memuat naik foto dan status panjang lebar di laman Instagram menyindir seorang pelakon yang dianggap masih tidak move on dan jealous dengan kehidupan dilaluinya kini. Ia rentetan kononnya Fasha dilarang daripada menghadiri sebuah majlis anjuran sebuah syarikat pengedar fabrik.

Sekalipun Ibu tunggal dua anak itu tidak mendedahkan siapakah individu dimaksudkan, netizen jelas dapat meneka sindiran pedas yang ditulis Fasha dalam laman sosialnya ditujukan kepada aktres Nora Danish berdasarkan kepada beberapa tanda pagar yang dilihat ditujukan kepadanya.