Minggu lalu lima pasangan DuoStar bertanding untuk merebut tempat ke peringkat akhir. Hanya empat pasangan yang layak dipilih dan rezeki tidak memihak kepada pasangan Ning Baizura dan Harris Baba.

Kini tinggal empat pasangan lagi yang akan berentap di peringkat akhir pada malam ini. Pasangan tersebut adalah Awi Rafael dan Kaka, Ayai dan Firman, Haiza dan Epul serta Syamel dan Ernie.

Awi Rafael dan Kaka

Persembahan DuoStar Awi Rafael dan Kaka sentiasa penuh dengan gaya. (Kredit Gambar: Mazlan Yunos Photography)

Pasangan DuoStar ini sangat beruntung kerana Awi bukan sahaja seorang penyanyi tetapi juga seorang pencipta lagu. Kelebihan tersebut sangat penting kerana mereka bukan sahaja perlu menyampaikan lagu secara duet, tetapi mencari kreativiti untuk memberikan nafas baru kepada lagu yang disampaikan. Kaka pula mempunyai vokal yang sangat bagus tetapi perlu lari daripada gaya Ella supaya mempunyai identiti tersendiri. Tapi bak kata pepatah, mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Ayai dan Firman

Persembahan Ayai dan Firman sentiasa menghiburkan. (Kredit Gambar: Mazlan Yunos Photography)

Mempunyai penyanyi yang sangat versatil seperti Ayai memberikan aras yang berbeza kepada pasangan DuoStar ini. Di awal-awal pertandingan, Firman nampak sedikit ketinggalan, tetapi Ayai seorang yang suka berkongsi ilmu. Firman semakin lama semakin bagus berduet bersama Ayai apatah lagi dengan suaranya yang serak-serak basah. Itu kelebihan pasangan DuoStar ini.

Haiza dan Epul

Gaya pemakaian Haiza dan Epul sentiasa sedondon. (Kredit Gambar: Mazlan Yunos Photography)

Seperti Awi Rafael, Epul daripada kumpulan Drama Band juga mempunyai kelebihan sebagai pencipta lagu. Malah, kawalan suara Epul banyak membantu memberikan yang terbaik untuk DuoStar ini. Haiza pula bukan calang-calang penyanyi. Lari daripada keserasian membawakan lagu-lagu dangdut, Haiza sememangnya seorang penyanyi yang serba boleh. Mereka berdua juga selalu mencipta kelainan dalam penyampaian lagu-lagu mereka.

Syamel dan Ernie

Syamel dan Ernie, dua anak muda yang mempunyai bakat yang menggunung tinggi. (Kredit Gambar: Mazlan Yunos Photography)

Dua anak muda pelapis ini tidak boleh dipandang rendah walaupun mungkin pengalaman mereka tidak sebanyak penyanyi-penyanyi yang lain. Pasangan DuoStar ini sangat kreatif dalam menyampaikan persembahan mereka pada setiap minggu. Malah, keserasian suara mereka berdua sangat indah dan sentiasa menyokong antara satu sama lain. Mereka juga ada chemistry yang sangat besar bukan setakat dalam penyampaian lagu, tapi juga penceritaan mereka ketika membuat persembahan.

Kesemua mereka ini pernah memenangi persembahan terbaik mingguan yang membawa pulang wang tunai RM5,000 tajaan Aura White serta baucer daripada Go Shop bernilai RM1,000.

Jadi, siapakah di antara mereka bakal dinobatkan sebagai juara pertama pertandingan DuoStar ini yang bakal membawa pulang wang tunai RM100,000? Jangan lupa untuk menyaksikan persembahan mereka dengan tema bebas dan lagu popular di peringkat akhir pada malam ini, Ahad, pukul 9:00 malam di Astro Ria saluran 104 serta Ria HD.