Gejala cetak rompak membabitkan filem dan muzik sudah menjadi isu yang tiada kesudahan apatah lagi kecanggihan teknologi pada masa kini bukan saja memudahkan sesiapa saja mengakses sesuatu karya secara percuma malah, memuat turun secara haram atau cetak rompak tanpa had.

Secara sedar atau tidak, isu ini merugikan penggiat seni sendiri yang tidak mendapat sebarang bayaran, royalti mahupun untung daripada aktiviti cetak rompak ini. Menyedari perkara ini berterusan, Persatuan Solidariti Seni Budaya Warisan Malaysia melaksanakan tanggungjawab mereka dengan memberi kesedaran pada orang ramai. Menerusi kempen #PencuriFilemBangsat dan #BoikotPencuriFilem, ia menjadi agenda mereka dalam mengawal aktviti cetak rompak agar dihentikan dalam kalangan masyarakat sendiri yang gemar memuat turun sesebuah karya secara haram.

Pengarah Komunikasi Strategiknya, Wan Syahrul Amry Wan Mansor berkata, perkembangan teknologi sememangnya memberi kesan positif seperti meningkatkan kualiti filem yang dihasilkan tetapi dari aspek negatif, ia menggalakkan pengguna memuat turun secara percuma dan mudah.

"Sehubungan dengan itu, kempen kesedaran sebegini haruslah diwujudkan demi membasmi gejala yang mampu membunuh ekonomi perfileman tempatan. Semoga kempen #PencuriFilemBangsat dan #BoikotPencuriFilem sedikit sebanyak menjadi pencetus dalam mengawal kemerebakan gejala tidak sihat ini," katanya dalam satu kenyataan kepada Rojak Daily Kaw!, hari ini.

Tambahnya, budaya mencuri karya orang lain secara cetak rompak adalah perbuatan yang sangat memalukan dan persatuan ini juga menyeru semua pihak menyokong kempen ini demi masa depan penggiat seni dan industri perfileman tempatan.