Pelakon kelahiran Singapura, Shah Iskandar, 35, menganggap populariti merudum selepas berkahwin hanya mitos. Bagi dirinya yang berstatus suami kepada Siti Sarah Mohd Noor yang dinikahi sejak 16 Januari 2016, dia percaya semua bertitik tolak kepada rezeki.

Hingga kini rezeki lakonannya yang diceburi sejak tahun 2009 masih tak pernah surut. Cuma satu perkara yang dilihat sebagai khilafnya selama ini ialah tidak terlalu aktif di laman sosial. Sedangkan ketika ini sejak saban tahun menyaksikan pendekatan mendekati peminat dan pengikut di laman sosial semakin dipraktikkan ramai artis tak kira di dalam negara mahupun luar.

Dulu skeptikal, kini tidak lagi.

Dua kali dijulang sebagai Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada tahun 2013 dan 2014, itu bagaikan bukti bahawa lelaki bernama penuh Shah Iskandar Mahfuz masih relevan di liganya tersendiri seperti pelakon kelahiran Singapura lain yang berhijrah mencari rezeki di negara kita.

“Dulu mungkin ada yang takut dengan skeptikal atau pandangan kalau sudah berkahwin, populariti akan merudum. Akhirnya saya percaya ia bersifat mitos. Jika betul pun populariti itu dikatakan sudah jatuh, saya tak gentar. Ketepikan soal populariti itu dan serlahkan apa yang kita boleh persembahkan kepada masyarakat dan peminat.

Makin jarang di laman sosial.

“Cuma saya kian sedar, sudah berkahwin itu tak bererti saya tak boleh lagi menghadiri acara hiburan mahupun fesyen, tak perlu balas komen peminat di laman sosial dan kurang aktif di laman sosial. Pendek kata memang saya jarang mengemas kini laman sosial.

“Saya akur dengan silap saya tak aktif di laman sosial terutamanya. Saya memang tak berapa ‘mesra’ dengan peminat dengan pengikut kerana selesa menjadi diri sendiri seperti mana awalan kembara seni saya bermula. Saya anggap semua itu tak perlu. Namun kini semua itu perlu saya lakukan untuk jadi lebih dekat dengan mereka,” katanya.

Masih banyak tawaran berlakon.

Malah, pelakon yang mencipta nama menerusi drama rantaian, Runtun Qalbu dan Gerak Khas itu juga tidak melihat popularitinya kebelakangan ini bagai tenggelam timbul.

“Selepas kahwin, nak kata saya ‘tenggelam’ itu taklah. Mungkin orang tak nampak drama yang saya lakonkan. Ikutkan tawaran berlakon yang saya terima tak pernah putus. Mungkin juga drama yang saya bintangi tidak sehebat drama sekarang menang banyak anugerah.

Tambahnya lagi, dia menegaskan tawaran berlakon watak utama bukan keutamaannya. Namun jika diberi kepercayaan menerajui sesebuah drama, tidaklah dia akan menolak.

Selesa watak antagonis.

“Iya pastinya kalau dapat jadi hero, saya mahu. Cuma sejak sekian lama berlakon ini, saya sedar watak antagonis lebih menarik. Kita lebih bebas mewarnakan karakter jahat itu. Mungkin sebab sudah terbiasa diberi watak sedemikian, saya jadi selesa. Mungkin juga saya ini bukan muka hero atau mempunyai badan sado yang melayakkan diri ini menjadi watak utama.

“Andai ada yang beri kepercayaan saya jadi hero, pasti saya akan cuba bawakannya dengan cara tersendiri,” katanya.

Mengenai perkembangan seninya, Shah memberitahu dia akan terbabit dengan penggambaran drama syarikat Global Station Sdn Bhd dan produksi lain tahun depan.