Pelakon kanak-kanak Puteri Balqis Azizi, 10, terkejut apabila dimaklumkan dia tercalon sekali lagi pada Anugerah Televisyen Asia 2017 (Asian TV Awards 2017) bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Filem TV (FTV) Ana Anak Ibu yang ditayangkan pada 13 Mei lalu di saluran Astro Citra.

Menerusi penganjuran sama, Balqis pernah memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik (Drama) pada Anugerah Televisyen Asia 2014.

Berharap Umie Aida turut tercalon.

“Saya ingatkan Datin Paduka Umie Aida yang terpilih. Alhamdulillah, sejujurnya saya tidak menjangka akan dicalonkan sekali lagi kerana saya hanya watak pembantu.

"Pun begitu, saya sedikit kecewa apabila Umie Aida tidak tercalon begitu juga pelakon lain. Saya mengharapkan dia tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik. Apapun, saya menganggap ini rezeki," katanya.

Saingan kali ini lebih sengit.

Balqis yang juga pemenang Pelakon Wanita Terbaik Drama pada Anugerah Skrin 2014 tidak meletakkan harapan tinggi kerana tercalon bersama pelakon hebat dari Singapura dan Taiwan.

Pada kategori sama, Balqis bersaing dengan pelakon Chen Shu Fang (Taiwan), Aleeyah Nabilah (Singapura), Zhu Zhi-Ying (Taiwan), Yang Kuei-Mei (Taiwan), Zi-yu Yu (Taiwan) dan Krissy Jesudason.

"Saya memang nak menang tetapi kali ini persaingan sangat hebat daripada calon lain. Jadi, saya tak mahu meletakkan sebarang harapan.

Tidak letak harapan tinggi.

"Kalau ada rezeki adalah. Kalau tidak menang pun, saya tetap berbangga kerana sudah terpilih sebagai calon akhir dan ia adalah pencapaian tertinggi dalam kerjaya saya," katanya.

Menerusi FTV itu, Balqis melakonkan watak Ana yang menghidap penyakit kronik barah tahap empat.

Pelakon lain turut menjayakan telefilem arahan Ghaz Abu Bakar itu, Datin Paduka Umie Aida, Khir Rahman, Aryanna Alyssa, Fauziah Nawi, Hazama dan Nazierah Amin.

Anugerah Televisyen Asia 2017 bakal berlangsung pada 1 Disember ini di Singapura.