Malam tadi bintang jelita, Nora Danish, 35, selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Nedim Nazri, 34, selepas melayari cinta lebih tiga tahun.

Lebih manis, usai acara yang diadakan secara tertutup di Glass House Seputeh, Kuala Lumpur itu, bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli atau Jejai, mengucapkan tahniah kepada pasangan mempelai.

Nyata, walaupun ikatan antara mereka sudah terlerai lapan tahun lalu, persahabatan mereka terus terjalin malah keluarga Jejai juga memeriahkan hari bahagia itu.

Gambar yang dikongsi jurumekap Khir Khalid di Instagram. (Kredit Gambar: Instagram)

Menerusi laman sosialnya, Jejai memuat naik sekeping gambar bersama pasangan pengantin dan anak tunggalnya dengan Nora, Putra Rayqal Ramli, 8, di atas pelamin bersama catatan manis.

Keterangan gambar yang agak panjang itu antara lain melayangkan ucapan tahniah selain mendoakan kebahagiaan Raja Sehari itu.

Wajah bahagia Nedim dan Nora. (Kredit Gambar: Instagram)

“Kepada Ned (Nedim) tahniah saya ucapkan. Saya gembira untuk anda dan Nora. Semoga kebahagiaan berpanjangan melatari kehidupan anda berdua dan rasa cinta terus kukuh, serta kekal ke akhir hayat, Insyallah.

"Kepada Nora, semoga anda menikmati setiap detik pada hari bahagia anda ini. Sejujurnya saya gembira anda berdua akhirnya disatukan sebagai pasangan suami isteri.

Akhirnya bersatu. (Kredit Gambar: Instagram)

"Tahniah! Semoga bahtera perkahwinan yang dibina dilimpahi dengan segala rahmat dan kegembiraan.

“Saya pasti Rayqal (anak hasil perkongsian hidup Nora dengan Jejai) dan Dre (anak Nedim daripada perkahwinan pertama) turut berkongsi kegembiraan bersama kalian berdua," katanya.

Status berkenaan meraih lebih 19,000 likes malah daripada hampir 500 komen, rata-rata memuji ketulusan serta sikap terbuka Jejai.

Antara detik manis yang dikongsi tetamu yang hadir. (Kredit Gambar: Instagram)

Terdahulu, aktres itu pernah mendirikan rumah tangga bersama Jejai pada Jun 2006 namun bercerai kira-kira dua tahun kemudian.

Manakala Nedim pula adalah seorang duda anak satu selepas berpisah dengan bekas isteri, Nabilah Khan, pada tahun 2013.

Perkongsian kenangan tetamu di laman Instagram. (Kredit Gambar: Instagram)

Sementara itu, Nora Danish sah bergelar isteri kepada Nedim kira-kira jam 8.37 malam tadi hanya dengan dua kali lafaz.

Pernah mengungkapkan mahu melangsungkan majlis sederhana, pernikahan berkenaan hanya dihadiri kira-kira 200 anggota keluarga dan teman rapat kedua-dua belah pihak.