Heboh dan bertebaran netizen memperkatakan mengenai hubungan jutawan kosmetik Datuk Seri Dr Vida dan pekerjanya yang berusia 23 tahun. Pelbagai spekulasi timbul malah ada yang mengkritik mengenai hubungan mereka yang didakwa kononnya bercinta.

Rojak Daily Kaw! mendapatkan komen dari Vida yang menafikan perkara itu dan minta semua pihak agar hentikan spekulasi yang timbul.

Tukar pekerja ke bahagian lain.

"Saya masih waras, saya profesional dan hubungan kami hanya sebagai majikan dan pekerja.

"Saya tidak pernah terfikir lebih daripada itu. Saya sendiri tidak faham bila semua ini timbul," katanya.

Lantaran itu, Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 46, berkata beliau sudah menukarkan pekerjanya itu yang dikenali sebagai Ahmad Iqbal Zulkefli ke bahagian lain bagi mengelakkan perkara ini terus diperkatakan.

Iqbal sebelum ini bertanggungjawab menjaga media sosial usahawan selebriti itu dan kini dipindahkan ke bahagian pemasaran.

Berhak bercinta dan dicintai.

"Saya rasa ini jalan terbaik sebab kalau masih menjaga media sosial dia (Iqbal) perlu sentiasa ada dengan saya untuk update aktiviti saya.

"Jadi biarlah dia ke bahagian pemasaran untuk mengelak perkara ini,"katanya.

Pada masa sama, wanita itu juga berkata dirinya berhak untuk bercinta dan dicintai. Malah beliau tidak menolak andai mendapat jodoh yang sesuai.

Tunaikan janji.

Apa yang paling penting, penyanyi lagu I Am Me ini berkata siapa juga lelaki itu, mereka juga perlu diterima baik oleh dua orang anaknya dan kakaknya yang dikenali sebagai Azizah Othman atau Mak Jah.

Sementara itu Vida menunaikan janjinya menghantar 15 pelajar madrasah dan tiga guru pengiring Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah mengerjakan umrah.

Beliau berkata, hatinya lega kerana dapat menunaikan hajatnya itu yang dinyatakan ketika menziarahi pusat tahfiz berkenaan yang musnah dalam kebakaran bulan lalu.

Moga dapat ibadah yang sempurna.

"Mereka di Makkah selama 10 hari dan saya berharap mereka dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna.

"Saya masih sedih dengan apa yang berlaku dan berharap anak-anak yang pergi akan mendoakan yang terbaik buat mereka dan semua mangsa," katanya.

Dalam insiden awal pagi itu, 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu terkorban akibat terperangkap di asrama dalam tragedi kebakaran itu.