Kaw
"Saya Nekad" - Datuk Rosnani Jamil
Seniwati, penerbit dan pengarah, Datuk Rosnani Jamil, 80, nekad bersara daripada industri seni selepas filem sentuhan terakhirnya, 'Mawar Putih' ditayangkan di pawagam pada 18 Ogos ini.
Katanya, beliau mahu mengotakan janji dengan anak-anak untuk berehat sepenuhnya selepas buah tangan yang didedikasikan terhadap suami tercinta, Allahyarham Datuk Jamil Sulong itu menemui khalayak tempatan dan Indonesia.
"Saya ingin memperuntukan masa bersama keluarga tercinta sambil melihat negara orang selepas lebih enam dekad bergelar anak wayang. Tetapi saya akan menyelesaikan dulu urusan membabitkan filem baharu ini sebelum ucapkan selamat tinggal.
"Anak saya pun ada yang tinggal di Amerika Syarikat manakala cucu pula di London. Jadi ada kelapangan saya mahu ke sana malah saudara mara juga ramai di Singapura yang boleh dilawati. Selepas ini saya juga tidak mungkin berlakon lagi.
"Apa pun, besar harapan saya agar filem yang mengambil latar tempat kelahiran di Padang, Sumatera ini dapat dikongsi dengan penonton luar terutama Indonesia.
"Bagi saya Mawar Putih cukup bermakna kerana ia buka sekadar mempunyai nilai sentimental untuk arwah suami yang meninggal dunia dua tahun lalu malah sebagai tanda selamat tinggal dengan dunia seni," katanya selepas prebiu filem itu, semalam.
Filem cinta yang berkisar kemelut hubungan dua darjat itu menyaksikan gandingan antara pelakon Malaysia dan Indonesia termasuk bintang utamanya, Reen Rahim bersama Triestan Aprilian sebagai teraju utama.
Selain Padang, filem yang secara keseluruhan membabitkan kos hampir RM1 juta termasuk promosi itu turut mengambil latar Bukit Tinggi, Sumatera selain Kuala Lumpur.
"Lokasi pertama yang ingin saya kongsi keindahan budaya dan latar filem ini adalah Padang sendiri. Jika dapat kelulusan kerajaan di sana serta sokongan FINAS, saya akan usahakan untuk ditayangkan di sana kerana bagi saya filem adalah bahasa penyatuan" kongsinya lagi yang turut menulis lirik untuk lagu runut bunyi filem itu.
Sementara itu, akuinya, Mawar Putih adalah sebuah karya yang menjadi penutup terbaik dalam perjalanan kerjaya pengarahannya selepas kali pertama bergelar sutradara genap 30 tahun lalu menerusi filem Mawar Merah.
Terdahulu, Rosnani atau lebih mesra dengan panggilan Mak Nani sebelum ini turut menyerlah dengan filem Antara Dua Hati yang diterbitkan pada tahun 1989 disusuli Memori (1992), Amelia (1996) serta Bicara Hati (2004).
Must-Watch Video