Gara-gara tular di laman sosial mengenai persamaan wajah dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman, Instagram pelakon, Ben Amir dibanjiri komen dan mesej peribadi yang ingin mengenalinya dengan lebih dekat.

Akui bintang Air Mata di Bumi Matador itu, sebelum ini pun pernah ada orang berikan komen mengenai persamaan mereka namun maklum balas semakin berganda selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ramai beri komen 'serupa'.

“Saya pun dah biasa orang tegur kata muka seiras Syed Saddiq. Cuma ketika bahang PRU14, lagi ramai yang perasan dan ada yang mengusik panggil saya Syed Saddiq. Kadangkala saya sampai terpingga-pinga tapi lucu pun iya.

“Saya tak anggap pun perkara itu merimaskan. Sebenarnya tempias pilihan raya dan wajah seiras personaliti ahli politik muda ini turut memberi kelebihan pada saya. Saya okey saja sebab dapat ramai kawan baru.

Belum berpeluang berjumpa.

“Sebenarnya saya terkejut disebabkan mesej peribadi di laman sosial saya pun dibanjiri pertanyaan dan ucapan. Mereka adalah peminat Syed Saddiq yang kebetulan mengikuti drama lakonan saya. Dari situ mereka terus jadi pengikut Instagram saya.

“Apa pun saya mengagumi personaliti muda dalam arena politik iti. Cuma setakat ini saya belum berpeluang berjumpa dengan beliau lagi,” katanya pada majlis pelancaran drama bersiri 26 episod, Air Mata Di Bumi Matador di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Selasa lalu.

Penggambaran di Spanyol.

Menerusi drama yang mengambil latar Sepanyol sebagai lokasi, Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir bin Sabaruddin, 28, digandingkan dengan Puteri Aishah, Nazrief Nazri, Shakilla Khoriri dan Eyka Farhana dalam karya arahan Rahila Ali.

Bawa watak mencabar.

Menganggap peluang bekerja buat julung kali di bawah sutradara berpengalaman itu sebagai peluang keemasan tambahan pula diamanahkan membawakan watak berat yang mencabar emosinya.

“Ini antara drama dan watak paling mencabar diri saya sebagai pelakon. Bayangkan sepanjang hari ada saja babak menangis. Awalnya saya terkejut sebaik membaca skrip kerana banyak adegan bergaduh, menangis dan sayu.

Kena banyak menangis.

“Mungkin paling susah apabila pengarah mahu saya keluarkan air mata sebelah kiri. Jadi saya kena menjiwai situasi hingga menitis air mata tanpa dipaksa. Saya takkan guna alat bantu menangis,” kongsinya yang membawakan peranan sebagai Adib.

Bakal disiarkan pada 30 Mei ini di saluran TV2, Ben memaklumkan tidak sabar menunggu maklum balas ramai dan melihat hasilnya memandangkan dia pernah diserang demam disebabkan faktor perubahan cuaca yang terlampau sejuk.

Masih bekerja di bulan puasa.

“Walau demam, kerja perlu diselesaikan. Mujur saya disertai pasukan yang bersemangat tinggi dan mendapat sokongan pelakon lain. Kerja berpasukan ini membuatkan semua perkara menjadi lancar serta mudah,” katanya lagi.

Sementara itu, sepanjang puasa Ben masih ‘turun’ ke lokasi penggambaran drama untuk siaran Syawal berjudul One Last Raya arahan Tam Suhaimi selain tetap masuk ke gymnasium melakukan rutin senaman seperti biasa.