KAW
Sheila Majid: The Concert Kuala Lumpur 2017 Bakal Cipta Fenomena
Jualan tiket konsert Datuk Sheila Majid, mendapat sambutan hebat apabila semua kategori habis dijual.
Persembahan mega diberi nama Sheila Majid: The Concert Kuala Lumpur 2017 itu dijadualkan berlangsung esok, 5 Ogos, di Stadium Negara.
Sebelum ini, dua kategori masing-masing bernilai RM888 dan RM388 habis disambar peminat hanya selepas sebulan dibuka untuk jualan. Mengulas sambutan yang diberikan peminat itu, Sheila mengaku teruja dan bersyukur dengan sokongan berkenaan.

"Saya bersyukur kerana mempunyai peminat terbaik di dunia dan sejujurnya saya tidak sabar untuk menghiburkan mereka menerusi konsert ini,"katanya.
Sementara itu, wakil penganjur, Howard Kong, yang juga Pengarah Serantau IME Asia turut gembira dengan sambutan jualan tiket konsert terbabit memandangkan Sheila adalah artis Malaysia pertama yang mendapat tajaan mereka.

Ketika ini, penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Pengemis Muda Tinggal sedang sibuk menjalani latihan lagi memastikan konsert anjuran IME Malaysia, More Entertainment dan disokong Magada Entertainment itu berjalan lancar dan sempurna perjalanannya sekali gus dapat memuaskan hati peminat setianya.

Berkongsi persiapan dan persediaan sebelum konsert bermula, Sheila mengundang Rojak Daily Kaw! ke Studio Baby Boss di Petaling Jaya baru-baru ini untuk melihat sendiri bagaimana sesi latihan bersama pemuzik di bawah pimpinan pengarah muzik, Mac Chew dan juga Jenny Chin dijalankan.
Walaupun sekadar latihan namun aura konsert bagaikan sudah terasa apabila masing-masing menunjukkan komitmen yang tinggi dan bersungguh-sungguh.

Keserasian antara Sheila dan pengarah muzik juga jelas kelihatan kerana hubungan persahabatan yang terjalin sejak lebih tiga dekad lalu membuatkan mereka saling memahami cita rasa masing-masing.
“Saya sangat teruja dan seronok kerana dapat bekerjasama dengan tiga orang pengarah muzik untuk konsert ini iaitu Mac Chew, Jenny dan juga suami saya, Acis. Mereka inilah yang melatari persembahan saya sejak 32 tahun lalu. Mungkin ramai yang tidak tahu, Jenny adalah orang pertama yang menjadi pengarah muzik saya sebelum kehadiran Mac dan Acis.

“Apabila kita bekerja dengan kumpuan yang kita sendiri sudah serasi, semua kerja dapat dilakukan dengan mudah kerana masing-masing sudah faham apa yang mereka perlu lakukan dalam persembahan mereka,” ujar penyanyi berusia 52 tahun ini.

Mengenali Sheila, dia adalah seorang penyanyi yang gemar berceloteh. Ada saja cerita menarik yang ingin dikongsikan olehnya. Justeru apabila dia memberitahu yang setiap kali membuat persembahan, dia akan tampil dengan skrip sebagai panduan, perkara itu sangat mengejutkan.
“Setiap kali membuat persembahan dalam apa juga acara, saya akan tulis skrip sebagai panduan. Sebagai penyanyi kita kena tahu kenapa kita berada di majlis itu, siapa tetamu kita dan juga apakah acara itu? Ini semua penting supaya kita tak hilang punca apabila berada di atas pentas dan semua mata memerhati ke arah kita.
“Semua skrip itu saya tulis sendiri dan saya takkan benarkan orang lain menulis untuk saya kerana ia tidak datang dari hati saya sendiri. Persiapan memang penting kerana kita tidak mahu disebabkan kesilapan kecil, persembahan kita menjadi kucar-kacir,” ujarnya.
Must-Watch Video