KAW
Siti Pilih Mac Lancar Single Sejajar Tarikh Bakal Jadi Ibu
Penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza yang ketika ini sedang sarat mengandung memilih kaedah pembedahan Caesarean untuk melahirkan anak sulungnya.
Menurut Siti, 39, pemilihan kaedah bersalin secara pembedahan itu juga atas nasihat pakar perbidanan yang merawatnya.

“Menurut doktor di tempat Siti menjalani rawatan kesuburan, selain faktor usia Siti sendiri, bayi yang dikandung menggunakan kaedah ‘In Vitro Fertilization (IVF)’ biasanya dilahirkan secara pembedahan.
“Bagaimanapun, ada juga kes sebegitu menyaksikan kelahiran secara normal. Siti ikut saja apa nasihat doktor, selain mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental. Memang berdebar jugalah. Apapun caranya, harapan Siti proses kelahiran dipermudahkan,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Ditanya mengenai persiapan menyambut si kecil, penyanyi yang baru saja muncul dengan single Comel Pipi Merah ini berkata, segala-galanya sudah tersedia.
Ketika ini, jelasnya, beliau dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, hanya membilang hari menantikan kehadiran orang baharu dalam keluarga mereka.

“Segala kelengkapan untuk bayi sudah pun Siti siapkan dalam sebuah beg, cuma tinggal barang-barang Siti sahaja yang belum dikemaskan. Mungkin dalam minggu ini juga.
“Dari segi persiapan lain, suamilah insan paling teruja membuat persediaan, terutama dari segi hiasan bilik bayi. Lif pun sudah siap dan ia dibina bukanlah bagi kegunaan Siti saja, tetapi untuk orang lain juga seperti ibu serta ibu mentua,” katanya yang memilih untuk melahirkan bayinya itu di sebuah pusat perubatan swasta.

Untuk urusan ketika menjalani proses berpantang, kata penyanyi Segala perasaan ini, dia lebih selesa mengupah orang luar untuk menjaganya.
“Siti sudah pun menempah seseorang yang akan menjaga Siti ketika proses berpantang. Siti memang tak mahu susahkan mak Siti. Biarlah dia bermain dengan cucu sahaja nanti. Cuma Siti minta tips daripadanya seperti makanan yang sesuai untuk wanita selepas bersalin dan pelbagai petua yang berkaitan,” ujarnya.
Mengulas kemunculan single terbarunya pula, Siti berkata, Mac dipilih sebagai detik pelancaran lagu berkenaan sejajar dengan tarikh beliau bakal bergelar ibu.
“Sekurang-kurangnya, ada juga kenangan untuk Siti dan bayi pada kemudian hari. Ia juga ibarat serampang dua mata kerana lagu berkenaan diharap dapat mengubat rindu peminat sepanjang tempoh Siti berpantang nanti,” katanya.
Lagu ciptaan Siti dan lirik oleh Rozi Sangdewi itu juga boleh didapati di semua platform digital mulai hari ini.
Must-Watch Video