Jika ada artis atau selebriti yang merahsiakan pernikahan mereka daripada media tetapi tidak bagi Siti Saleha Baharom, 27, yang lebih bersikap terbuka untuk berkongsi kebahagiaan dan kegembiraannya dengan media serta peminat.

Menurut pelakon drama 7 Hari Mencintaimu itu, sebelum ini dia agak kurang mahu mendedahkan persiapan pernikahan dan majlis persandingannya secara terperinci kerana belum dapat tempat untuk melangsungkan dua acara yang paling bermakna dalam hidupnya itu.

Biar semua persiapan berjalan dengan lancar, baru senang nak bercerita.(Kredit Gambar: Z.Nadzri)

“Sekarang saya sudah dapat tempat untuk kedua-dua acara itu, baru saya boleh bercerita. Bagaimanapun biarlah saya umumkan kemudian tempatnya di mana.

“Pernikahan saya akan dilangsungkan pada 28 Julai depan dan keesokan harinya akan diadakan majlis resepsi. Seminggu kemudian, diadakan pula majlis persandingan di sebelah keluarga lelaki.

Pilih 28 Julai untuk majlis pernikahan.(Kredit Gambar: Z.Nadzri)

“Saya mahu ketiga-tiga majlis itu diadakan pada tarikh yang berdekatan untuk memudahkan sanak saudara saya yang menetap di luar negara datang untuk meraikannya. Rakan tunang pun yang tinggal jauh dari ibu kota termasuk di luar negara boleh merancang percutian mereka,” katanya.

Mahu majlis diadakan pada tarikh berdekatan untuk memudahkan saudara mara dan kenalan dari luar negara.(Kredit Gambar: Z.Nadzri)

Saleha juga tidak kisah jika kedua-dua belah keluarga mahu mengadakan majlis perkahwinannya secara besar-besaran kerana dia berkahwin hanya sekali seumur hidup.

Saleha melangsungkan pertunangan dengan pegawai kerajaan, Lutfi Azhar, 31, pada 26 November 2016.