Saya suka dengan tema Cerita Rakyat dan Cerita Moden yang diberikan pada para peserta untuk minggu yang kesembilan ini. Tema yang agak mencabar tetapi betullah seperti kata Datuk Aznil, mereka perlu tunjukkan persembahan bernilai setengah juta ringgit setiap minggu!

Saya juga agak kagum dengan komen-komen yang diberikan oleh Datuk Rosyam. Walaupun ianya dalam nada tegas tetapi bahasanya berlapik, ada rasional dan ada rasa tanggungjawab bukan hanya kepada rancangan Maharaja Lawak Mega, tetapi juga kepada penonton yang menonton rancangan ini sama ada di dalam dewan mahupun di rumah. Tabik, Datuk!
Advertisement
Bocey

Membuka persembahan dengan lawak yang lebih bagus dan kemas daripada minggu lalu. Menggabungkan kisah Si Tanggang dan Munafik, memang kelakar. Penggunaan audio daripada cerita-cerita tersebut juga banyak membantu. Boleh nampak mereka benar-benar buat homework!
Shiro

Expectation memang tinggi minggu ini bila melihat kepada persembahan mereka minggu lalu. Tapi terlalu ambil masa yang panjang untuk panas. Jenakanya lebih kepada karakter daripada cerita Rock Bro yang berulang-ulang. Bila masuk kali ketiga keempat gaya yang sama diulang, sudah tidak kelakar lagi.
Abioso

Rasanya Abioso mengalami saat kesukaran yang sangat tinggi. Watak 'Awie' hanya kelakar dalam 30 saat yang pertama, selepas itu perulangannya menjadi bosan. Mungkin homework yang dibuat tidak cukup untuk membawakan karakter Awie, yang sebenarnya sangat kelakar. Banyak momen terbuang begitu sahaja.
Zero

Memang sangat melampau bagusnya kumpulan Zero ni. Sangat bijak memilih gabungan Polis Evo dan Batu Belah Batu Bertakup yang sinonim dengan semua. Tidak ada jenaka yang berulang dan mereka memainkan karakter sendiri yang diadaptasikan daripada cerita-cerita tersebut. Boleh nampak originality nya di situ dan paling penting, persembahan mereka adalah persembahan orang yang mahukan setengah juta ringgit! Superb!
Puteh

Permulaannya agak perlahan dan seperti kata Datuk Rosyam, penonton tidak mahu tahu apa yang terjadi di belakang tabir, bila mereka lambat memulakan persembahan kerana masalah motor. Tetapi pujian harus diberikan kepada kedua-dua mereka kerana mereka ada karakter yang tersendiri. Mungkin ramai yang tak kenal Puteh sebelum ini (termasuk saya) tapi selepas ini nama mereka mungkin akan jadi tidak asing lagi.
Joras

Minggu kesembilan, Joras banyak bergantung kepada Rahim untuk memberikan punch line. Dua watak lain sangat hambar. Dan mungkin paling tidak suka, apabila unsur-unsur lucah keterlaluan dimasukkan ke dalam cerita. Mujur Datuk Rosyam menyuarakan hal tersebut. Persembahan mereka juga seolah-olah lari timing lebih banyak impromtu daripada berlatih dan membuat homework.
Dzawin
Kalau berdua atau bertiga pun sudah sukar untuk membawakan topik minggu ini, apatah lagi bila berseorangan. Tapi itulah cabarannya untuk membawa pulang setengah juta ringgit! Sebuah pertandingan yang sebesar ini memerlukan mereka berfikir di luar kotak, dan sekali sekala membawakan watak yang berlainan daripada mereka sendiri. Saya melihat Dzawin sebagai seorang pelawak solo yang mampu pergi jauh, tetapi minggu ini persembahannya agak bosan. Penceritaan berulang-ulang dan tiada effort yang lebih selain daripada bercerita seperti selalu. Mungkin tukar cara berpakaian dan lebihkan permainan karakter.
Masin

Kekurangan chemistry menyebabkan banyak punch line yang tidak sampai. Jadi ada masa Masin nampak sangat bagus dan ada ketika sangat hambar. Vicha sebagai satu-satunya pelawak wanita sepatutnya lebih memberikan lawak bijak berbanding lawak slapstik. Sayang bila peluang yang terbuka luas tidak digunakan sebaik mungkin. Kalau tidak, pasti lawak Masin akan lebih kemas, punch line nya lekat.

Minggu kesembilan menyaksikan Kumpulan Joras meninggalkan pentas Maharaja Lawak Mega 2017. Pada saya mereka bagus, cuma lawak minggu ini berbaur lucah dan tidak sesuai. Saya yakin perkataan-perkataan yang dikeluarkan itu lebih kepada impromtu dan bukan yang dipraktiskan. Good luck untuk Joras. Anda tetap bagus.
Secara keseluruhannya minggu kesembilan ini para peserta memang mengalami kesukaran untuk menyampaikan tema yang diberikan. Cabaran ini yang membezakan mereka yang bekerja keras untuk memberikan yang terbaik dengan mereka yang tidak cukup masa untuk membuat homework.