Jika dibandingkan pertandingan Dewi Remaja sebelum ini, mungkin Dewi Remaja musim 2009/2010 paling ramai melahirkan bintang-bintang yang mewarnai industri hiburan Malaysia antaranya Neelofa, Anzalna Nasir, Izara Aishah, Syatilla Melvin dan Ramona Zam Zam. Namun bagi Mia Ali atau nama penuhnya,Nur Maissitah Ali, 28, biarpun tidak sepenuhnya menyertai industri hiburan, Mia kini lebih fokus pada perniagaan yang dibina dari minat dan kesabaran, Mia's Kitchen.

Berhijab sejak 3 tahun lalu.

Anak bongsu dari empat orang adik-beradik ini percaya setiap manusia diberikan rezeki masing-masing. "Alhamdulillah perjalanan karier saya selepas Dewi Remaja sentiasa baik dan lancar. Syukur, sehingga hari ini rezeki saya tidak pernah putus. Empat bulan selepas tamat pertandingan Dewi Remaja, saya berkahwin dengan suami, Sazrin Aizul di usia saya 21 tahun. Saya fokus dengan praktikal sambil menunggu untuk tamat belajar dan dikurniakan cahaya mata setahun lepas itu".

Mia dan keluarga bahagianya.

"Dari situ impian untuk mencapai cita-cita sebagai anak seni harus saya ketepikan buat seketika demi fokus terhadap keluarga. Dua tahun selepas itu barulah bermulanya karier saya dalam bidang peragaan. Saya banyak dapat job untuk majalah-majalah, produk, billboard, iklan TV, dan peragaan fasyen sehingga ke hari ini antaranya Asia Islamic Fashion Week, Zang Toi, dan banyak peragaan yang melibatkan pakaian muslimah", ulas Mia.

Sedapnya kek dari Mia's Kitchen!

Berkelulusan Diploma dalam bidang pengurusan perniagaan di Kolej Poly-tech MARA, Mia kini bahagia dikurniakan dua puteri dan menjadi pemilik kepada Mia's Kitchen, sebuah perniagaan online yang terletak di Keramat, Kuala Lumpur. Lebih memfokuskan kepada pembuatan kek dan pencuci mulut, minat untuk berniaga turun dari ibu dan bapanya. Menurut Mia, "Saya dari umur 9 tahun lagi dah biasa ikut mak dan abah berniaga di pasar tani Shah Alam."

Abah seorang pengusaha barangan antik, manakala mak jual barangan import seperti alas meja embroidery dan sebagainya. Jadi dari situ minat berniaga memang dah tertanam dan saya sambung belajar juga dalam bidang perniagaan. Lama juga saya fikir apa jenis perniagaan yan saya boleh buat untuk jana pendapatan selain dari bidang modelling".

Kek sudah sedia menemui pelanggannya.

"Kebetulan masa tu ada sepupu yang pandai buat kek, saya terus masuk kelas membuat kek. Dari suka-suka, terus datang minat untuk membakar. Suami, ibu-bapa dan keluarga juga berikan sokongan yang tak henti-henti untuk saya buat perniagaan kek ni. Masa tu kewangan sangat tak menentu dan harga barangan keperluan buat kek sepeti mesin pengadun, pembakar agak mahal. Masih ingat lagi, suami dan maklah yang pinjamkan duit untuk saya bayar yuran kelas dan modal untuk membeli segala peralatan. Satu-persatu saya lengkapkan secara perlahan-lahan".

Dengan hasil jualan dan simpanan yang ada, saya pergi pelbagai kelas dan kumpul ilmu sampailah sekarang. Kadang-kadang tu memang rasa payah dan perit nak capai apa yang saya idamkan tapi saya kuat fikirkan bila kita usaha benda yang kita minat, rasa pahit itulah jadi ubat dan membakar semangat untuk lebih berjaya", jelas Mia lagi.

Nampak lazat kan?

Mana yang Mia lebih minat? Buat kek atau teruskan karier seperti Neelofa, Izara dan Anzalna? Mia ternyata tidak sama sekali memilih antara bidang seni atau perniagaan kerana kedua-duanya berjalan seiring. Dari kedua-dua bidang yang berbeza inilah mengajar dirinya tentang keyakinan diri, bertanggungjawab dan rebut peluang. "Alhamdulillah,saya gembira dengan apa yang saya lakukan sekarang kerana bagi saya melakukan sesuatu yang kita minat pastinya lebih menyeronokkan berbanding melakukan sesuatu dengan terpaksa. Bila karier tumbuh berdasarkan minat, setiap hari menjadi hari yang sentiasa ditunggu-tunggu dan langsung tak kenal erti penat untuk berusaha", ujarnya.

Sibuk bergelar model peragaan.

Handal membuat hampir 20 jenis kek dan pencuci mulut, Mia mengenakan harga yang berpatutan bermula dari RM130 untuk sebiji kek bergantung pada design kek. Antara kek kegemarannya adalah Raspberry Ripple, kek Neapolitan dimana ada 3 perisa iaitu vanila, coklat dan strawberry, tart Nutella cheese, kek Pandan Gula Melaka dan kek Raspberry Pistachio. Kalau ada diantara anda yang mahu menempah kek dengan Mia, anda boleh ke Facebook atau Instagram Mia's Kitchen.

Tambah Mia, "Kebanyakan pelanggan saya sekarang adalah dari kalangan saudara-mara, teman-teman rapat, kawan sekolah, kawan kolej, kawan model dan ada juga dari kalangan selebriti seperti Datuk Fazley, Imran Ajmain, Syatilla Melvin, Amyra Rosli, Imelda Harris (masterchef), Puteri Lily Othman dan ramai lagi. Selain membuat tempahan pelanggan, saya juga sibuk menjadi model majalah dan peragaan".

Mia bersama sebahagian bekas Dewi Remaja.

Walaupun tujuh tahun telah berlalu, menyertai pertandingan Dewi Remaja tetap menjadi salah satu kenangan manis baginya. Masih berhubungan dengan rakan seperjuangan walaupun sibuk dengan urusan kerjaya masing-masing, Mia masih berhubungan dengan bekas dewi antaranaya Syatilla Melvin, Zarina Jamalullail, Feez Sulaiman, Azar Azmi, Ramona Zam Zam, Nadiey Hana, Niena Hanie dan Ira Saif. "Baru bulan lepas sahaja kami lepak bersama sambil membawa anak masing-masing", ujar Mia diakhir perbualan.