Orang Malaysia sememangnya berbakat! Terbukti di pentas separuh akhir rancangan realiti Asia's Got Talent (AGT) semalam apabila kumpulan Nama dari Malaysia berjaya mara ke peringkat akhir setelah menjadi pilihan juri.

Kumpulan Nama.

Sejarah juga tercipta apabila manusia kalkulator, Yaashwin Sarawanan turut mara ke pentas akhir menerusi sistem pengundian penonton.

Kebolehan mengira lebih pantas daripada kalkulator.

Kumpulan Nama yang terdiri daripada empat gadis bersuara lunak, Fazrina Ani, Fazyra Malik, Fara Dolhadi, dan Syamimi Mokhtar mempersembahkan lagu bertajuk Sax nyanyian Fleur East sambil disertai beberapa orang penari latar.

Persembahan bertenaga mereka mendapat perhatian peminat AGT dan menambat hati tiga juri tetap yang terdiri daripada produser muzik, David Foster, penyanyi antarabangsa, Anggun, dan artis popular Korea-Amerika, Jay Park.

Bagi Yaashwin pula, sejak pusingan kelayakan lagi dia telah membuatkan juri-juri tercengang dengan kebolehannya mengira tanpa menggunakan kalkulator. Dilabel sebagai lebih pantas dari kalkulator, Yaashwin berupaya mencongak pengiraan matematik dengan pantas dan mudah.

Semoga berjaya kepada kedua-dua peserta dari Malaysia ini. Harapan Malaysia untuk bergelar juara AGT musim ke-3 ini terletak di bahu mereka. Terdahulu, negara Filipina menjadi juara pertama bagi AGT diikuti Indonesia bagi musim ke-2.

Pentas akhir AGT akan berlangsung di Marina Bay Sands, Singapura pada 4 April ini.

Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai lumayan berjumlah $100,000 USD (RM408,210).