Bagi mereka yang berjiwa klasik dan sentimental, pastinya teruja menantikan 'kelahiran semula' telefon bimbit Nokia 3310 yang dijangka muncul di pasaran semula pada penghujung bulan ini. Mereka yang pernah menggunakan telefon ini suatu ketika dulu mungkin rindu untuk memegangnya semula dan paling seronok apabila mendengar bunyi nada dering dan bermain permainan ular di dalamnya.

Namun, ramai yang berteka teki harganya di pasaran dan VentureBeat melaporkan harga jualannya adalah $59 Euro (RM277) dan ia dijangka akan dilancarkan di Barcelona, Sepanyol sempena berlangsungnya Kongres Telefon Bimbit Sedunia di sana.

Telefon bimbit Nokia 3310 ini yang pernah diperkenalkan 17 tahun lalu diminati ramai pengguna pada masa itu kerana ia mempunyai ciri-ciri seperti tahan lasak dan ketahanan jangka hayat bateri lebih lama. Meskipun, ia bukan dalam kategori telefon pintar seperti kebanyakkan telefon canggih pada masa kini yang menggunakan teknologi sentuhan pada skrin, ia tetap menjadi koleksi ikonik yang ditunggu ramai peminat Nokia.

Tahan lasak dan jangka hayat bateri lebih lama antara ciri-ciri yang digemari pengguna Nokia 3310. (Gambar: Independent)

Ada yang beranggapan Nokia 3310 terbaru kali ini mempunyai ciri berbeza walaupun masih menggunakan teknologi Android. Nokia sebelum ini memperkenalkan model Nokia 6 iaitu telefon pintar pertama yang menggunakan teknologi Android.

Independent melaporkan Nokia 330 adalah model terlaris yang pernah dijual di pasaran dengan rekod sebanyak 126 juta unit pernah dihasilkan. Khabar angin pula mengatakan telefon bimbit ini sudah bersedia untuk dilancarkan dalam masa terdekat meskipun tiada pengesahan daripada Nokia. Bagaimanapun, timbul persoalan sama ada Nokia 3310 masih mampu meraih sambutan pengguna apatah lagi kecanggihan teknologi ketika ini menyaksikan lebih banyak telefon pintar mendominasi pasaran.

Mungkin peminat Nokia 3310 tidak peduli telefon pintar mengugat kehebatan telefon legenda ini kerana mereka lebih gemar fungsinya yang serba ringkas dan paling penting, 'nyawa' lebih panjang.