Pertama kali menerima undangan untuk menyertai konvoi kereta membuatkan kami teruja. Malah ini bukan calang-calang jenama, undangan yang kami terima adalah dari Mercedes-Benz untuk meraikan 'Never Stop Improving C-Class Rally'.

Flag-off!

Kembara selama empat hari bermula dari Mercedes-Benz TREC, Kuala Lumpur singgah sebentar di Bentong, Pahang untuk aktiviti mencari harta karun. Rombongan hampir 30 orang media dan kru ini turut disertai oleh selebriti Hunny Madu, Hafeez Mikael, Intan Najuwa, Fyza Kadir serta jaguh MMA, Peter Davis.

Hi Peter Davis!

Memandu Mercedes-Benz C-Class di sekitar bandar Bentong, kami singgah di Enderong Resort di Janda Baik untuk makan tengah hari. Perut sudah diisi, tiba masa untuk beraksi. Aktiviti yang dianjurkan cukup menarik dimana kami perlu mencari tiga daripada sembilan klu yang disorok di sekitar pusat bandar. Hampir 13 biji kereta Mercedes-Benz berkeliaran di sekitar bandar Bentong menarik perhatian orang ramai.

KL - Bentong - Cameron Highlands.

Tamat sesi di Bentong, kami menuju ke destinasi akhir rombongan iaitu ke Cameron Highlands untuk tidur dua malam di Cameron Highlands Resort. Kembara dari Bentong mengambil masa kurang lebih tiga jam dan memandu Mercedes-Benz C200 membuatkan perjalanan kami lancar dan selesa.

Lewat petang kami tiba di Cameron Highlands dan disambut dengan hujan renyai. Nama pun Mercedes-Benz, sudah pasti mereka mahu berikan yang terbaik untuk para media. Bilik hotel yang disediakan cukup besar dan selesa.

Hunny Madu beraksi dengan kereta konvoinya.

Setiap kali ke Cameron Highlands, kami teringin betul mahu menginap di Cameron Highlands Resort, terutamanya bilik yang mempunyai balkoni mengadap padang golf. Kalau road trip sendiri, belum tentu kami akan menginap di bilik suite junior tersebut. Namun dengan Mercedes-Benz, segala impian jadi kenyataan. Buka pintu balkoni, betul-betul padang golf, nyaman sungguh!

Dingin malam dileburkan dengan hidangan stimbot untuk makan malam. Di kesempatan inilah sesi perkenalan berlangsung dan kami turut ditemani oleh Mark Raine, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran, Mercedes-Benz Malaysia. Orangnya kacak, tinggi dan begitu ramah!

Aktiviti jungle trekking.

Keesokannya harinya aktiviti yang disediakan untuk kami agak padat namun menyeronokkan. Awal pagi kami menyelusuri hutan di Jim Thompson Trail, berdekatan dengan Cameron Highlands Resort.

Memulakan aktiviti pemanduan, kami memandu ke Smokehouse Hotel and Restaurant untuk makan tengah hari. Aktiviti yang seterusnya antara yang paling dinantikan iaitu cabaran membuat jem strawberi.

Cabaran buat jem strawberi bermula.
Cincang, kisar dan masak.

Seusai makan, kami terus ke Big Red Strawberry Farm, destinasi utama pelancong yang mahu menikmati strawberi segar. Bersama pasangan memandu, kami diminta untuk membuat jem strawberi yang dimulakan dengan acara memetik strawberi segar dari pokok.

Pemenang akan ditentukan dengan jumlah timbangan strawberi paling tepat iaitu sebanyak 500 gram untuk mengisi empat balang jem. Inilah acara paling bising, paling meriah dan mengundang hilai tawa semua.

Empat balang jem siap!

Tamat acara, saya mengambil kesempatan untuk mencuba keluaran C-Class terbaru, Mercedes-Benz C43. Dipandu sendiri oleh Mark Raine, saya dibawa mengelilingi bandar Cameron Highlands dan terbukti kuasa C43, memang tercampak habis!

Acara malam juga antara yang dinantikan iaitu cabaran Murder Mystery at the Mystery Mountain dimana setiap daripada media, kru serta selebriti ada peranan tersendiri untuk mencari siapakah dalang disebalik misteri pembunuhan.

Dramatik lakonan Peter Davis,

Dalam acara malam inilah kami perlu saling menyiasat tentang misteri kematian Jim Thompson yang dilakonkan oleh Peter Davis. Haru-biru, kelam-kabut dan penuh gelak tawa mengisi malam kami.

Peter Davis dan Mark Raine.

Hari ketiga kami ditemani oleh tetamu istimewa yang dibawakan khas oleh Mercedes-Benz. Beliau yang dimaksudkan adalah duta jenama Mercedes-Benz, Datuk Nicol David.

Baru balik dari percutiannya di Amerika Selatan dan terus ke Cameron Highlands, Datuk Nicol berkongsi cabaran bergelar jaguh, tips berjaya serta perlawanannya yang seterusnya. Momen bersama media ini tidak dilepaskan apabila kami berpeluang untuk turut sama bergambar bersama jaguh Squash dunia ini.

Hi Datuk Nicol David.

Acara bakal tiba di penghujungnya. Selesai acara penyampaian hadiah untuk setiap pemenang cabaran, kami makan tengah hari di resort dan memulakan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.

Sedia untuk pulang.

Secara kesimpulannya, ini adalah antara trip media yang paling best kami sertai. Penganjuran 'Never Stop Improving C-Class Rally' ini sangat efisien, lancar dan keramahan warga kerja Mercedes-Benz begitu meninggalkan kesan yang positif pada kami.

Terima kasih Mercedes-Benz!

Tahniah dan jutaan terima kasih kepada pasukan Mercedes-Benz untuk pengalaman konvoi yang pertama buat kami. Pengalaman mengemudi jentera hebat C-Class dari Kuala Lumpur, Cameron Highlands dan kembali ke Kuala Lumpur ini amat kami hargai.