LIFESTYLE
Panggung Wayang Odeon Pulau Pinang Berwajah Baru
Suatu ketika dulu panggung wayang layar lebar cukup popular dalam kalangan masyarakat setempat untuk pergi menonton filem. Berbeza dengan pawagam zaman kini yang lebih canggih dari aspek kualiti skrin dan audio serta ruang kapasiti tempat duduk yang lebih kecil, panggung wayang tetap menjadi sejarah yang terus dikenang.
Namun, jika kebanyakkan panggung wayang sudah gulung tikar kerana kewujudan pawagam moden, masih wujud penganjur yang mengubahsuai lokasi ini menjadi kawasan baru untuk tumpuan ramai khususnya pelancong tempatan dan antarabangsa.
Bagi masyarakat di Pulau Pinang, panggung wayang Odeon yang terkenal pada zaman 70-an dan 80-an terletak di Penang Road menjadi kenangan yang tidak boleh dilupakan ketika di zaman kegemilangannya dulu. Banyak filem Melayu, Hindustan dan Hollywood ditayangkan pada masa itu. Namun, kenangan lalu itu masih dapat diimbas kembali apabila ia dibuka semula pada pengunjung tetapi dengan wajah baru sebagai Odeon Trick Art Cafe & Restaurant.

Persembahan boria antara tarikan pada pengunjung ke Odeon Trick Art Cafe & Restaurant, Pulau Pinang. (Gambar: Rojak Daily Kaw!)
Pengarah Urusan, ODEON Trick Café & Restaurant, T.N.Boey berkata, panggung wayang Odeon pernah menjadi satu tempat yang melakarkan sejarah kegemilangan dalam industri perfileman tanah air."Odeon adalah sebuah panggung wayang dikunjungi penduduk Pulau Pinang sehingga ke Kulim, Sungai Petani dan Alor Setar. Di sebelah selatan pula mungkin sampai ke Taiping, Kuala Kangsar dan Ipoh. Terlalu banyak kenangan manis dilakar generasi seangkatan ibu bapa atau datuk nenek kita.
"Odeon menjadi saksi kepada banyak peristiwa. Di suatu masa panggung wayang Odeon terbiar usang. Justeru, pihak kami telah mengambil inisiatif membaik pulih dan memelihara bangunan khazanah warisan negara ini untuk dijadikan tempat tarikan pelancong tempatan dan luar negara," katanya dalam satu kenyataan.

Tayangan 'slaid' sejarah Pulau Pinang di bahagian atas memberi keistimewaan pada tarikan Odeon Trick Cafe & Restaurant. (Gambar: Rojak Daily Kaw!)
Tambahnya, pembaharuan Odeon ini lebih dikenali sebagai pusat hiburan dan restoran yang mengekalkan ciri kesenian dan kebudayaan serta dimensi imej yang mengimbau kenangan di Pulau Pinang. Menariknya, tarian kebudayaan dan kesenian yang menjadi 'trademark' Pulau Pinang iaitu boria turut dipersembahkan pada pengunjung. Malah, lukisan 3 dimensi atau 3D dan tayangan 'slaid' mengenai sejarah Pulau Pinang dipertontonkan sebaik pengunjung masuk ke premis ini.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab ketika merasmikan Odeon wajah baru ini menyatakan tempat lain perlu mencontohi Odeon Trick Art Cafe & Restaurant yang mengubahsuai ruang kosong yang lama dijadikan tempat baru untuk tarikan pelancong. Usaha ini menjadikan Pulau Pinang yang mempunyai lebih 40 muzium interaktif sebagai lokasi menarik untuk dikunjungi.
Must-Watch Video