"Filem Pekak bagus pelakonnya tapi temanya tidak hebat. Filem Korea pula menampilkan nilai murni, perwatakkan yang baik, hormat dan inilah antara ciri dalam rukun negara memaparkan perpaduan kaum," teguran Pengerusi Panel Penilai Profesional Anugerah Buku Negara, Tan Sri Profesor Dr Abdul Latif Abu Bakar terhadap kandungan filem tempatan dibandingkan dengan filem luar negara.

Mungkin kenyataan Tokoh Akademik itu menguris hati segelintir penggiat seni filem tanah air tetapi beliau melontarkan pandangan secara jujur terhadap mutu filem tempatan yang perlu diberi perhatian lebih serius. Beliau menyatakan bukan mahu menafikan industri filem sendiri tetapi mencadangkan buku dan filem secara khusus mengenai jati diri dan patriotisme perlu diterbitkan. Melihat senario pencapaian filem Korea yang diminati ramai penonton masa kini, beliau berpandangan karya negara itu boleh dijadikan contoh.

"Saya melihat pelajar kita juga belajar bahasa Korea menerusi filem Korea tetapi filem Melayu, pelajar Cina di China fasih berbahasa Melayu apabila mereka belajar menerusi filem Tan Sri P Ramlee. Sebab itu mereka datang sini cari DVD berharga RM5, kumpul, baca dan hafal," katanya ketika sidang media Anugerah Telenovela di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Hulu Klang, Selangor, semalam.

Tambahnya, jika dibandingkan beberapa filem tempatan yang memikirkan masalah sosial tetapi tidak boleh dijadikan contoh teladan yang baik,filem Korea seperti Tain To Busan pula menggambarkan kekuatan yang mempunyai nilai murni yang penuh mesej, tanggungjawab, perangai tidak senonoh menjadi baik dan sepanjang 2 jam menonton, penonton tahu ia adalah contoh filem yang baik.

Tidak juga seperti filem Barat yang memaparkan nilai murni tak jelas dan kacau bilau, beliau memberi galakan pada produser filem agar mengambil inisiatif menghasilkan filem yang membawa elemen jati diri dan patriotisme.

"Sebagai negara membangun, hal-hal berkaitan dengan ilmu, jati diri dan budaya tiada nilai hartanya. Jika tiada kekuatan jati diri, kita tak bersatu dan negara hancur. Dalam usaha membina masyarakat berilmu dan menjadikan negara bersatu padu, perlu mempunyai kekuatan patriotik menerusi buku termasuk filem yang diadaptasi daripada novel.

"Mungkin pada masa akan datang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dapat menerbitkan buku sejarah bersiri sebab kita nak wajib pelajar baca novel sejarah. Orang yang menulis novel sejarah juga tidak ramai kerana tiada inisiatif jadi macamana nak rasa orang sayangkan negara. Begitu juga kita boleh adakan pertandingan novel sejarah," katanya.

Menjawab persoalan golongan muda tempatan lebih gemar menonton filem Korea dan Hindustan dibandingkan filem tempatan sendiri, beliau melihat segelintir filem tempatan tidak boleh dijadikan contoh atau teladan yang baik pada anak muda.

"Ia suatu cadangan yang baik mewujudkan Book Village @ Rungkup yang diharapkan menjadi model yang baik. Sebelum ini kita ada 'Book Village' di Pulau Langkawi dan Ayer Keroh tetapi ia umpama 'hidup segan mati tak mahu'. Alasan tidak dapat sambutan sebab orang tak minat membaca buku.

"Di negara Barat, orang datang tapi kita hal berkaitan warisan, kita 'bunuh', kita tak kisah sebab kita latih anak dengan materialistik, budaya popular, kita layankan perasaan anak-anak kita dalam hal ini tetapi hal berkaitan warisan sangat lemah sebab itu dalam Kongres Budaya 2017 (15 April), kita masukkan hal berkaitan warisan yang selalu tidak dapat perhatian.

"Melaka yang diiktiraf tempat warisan dunia, sekarang wujud Perkampungan Hang Tuah. Kerajaan Persekutuan membantu sebanyak RM50 juta dan daripada 1 ekar mendapat 40 ekar tanah tapi berkenaan dengan warisan, akibat pengurusan tak betul, orang tak ramai tengok dan hal warisan ini tidak diambil berat," katanya.

Bagaimanapun, Dr Abdul Latif memuji filem seperti The Journey berjaya menambat hati penonton kerana jalan cerita mudah iaitu mengisahkan bangsa asing dari Eropah yang datang ke negara ini lalu menerima budaya Cina seterusnya diamalkan.

Sebagai kesinambungan, Anugerah Telenovela yang memberi pengiktirafan pada karya filem dan drama tempatan yang diterbitkan adaptasi novel diteruskan penganjuran tahun kedua yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), KUala Lumpur pada 7 Oktober nanti. Acara ini diadakan sempena Anugerah Buku Negara yang dianjurkan Yayasan Pembangunan Buku Negara.