Lupakan sejenak mengenai iPhone, Samsung atau apa jua telefon pintar yang anda guna sekarang. Saya mahu anda throwback seketika untuk mengimbau kenangan lama.

Pada yang masih belum tahu, telefon lagenda Nokia 8110 telah dilancarkan dengan keupayaan 4G.

Menariknya ia masih mengekalkan rekaan ikonik seperti pisang yang terlebih dahulu dihasilkan pada tahun 1996. Ketika itu Nokia 8110 antara peranti pertama menampilkan kaedah sliding.

Disebabkan reka bentuknya melengkung seperti pisang, maka ramailah yang menggelarnya sebagai telefon pisang. Namun ada juga yang memanggilnya sebagai telefon Matrix apabila ia membuat kemunculan pada filem The Matrix pada tahun 1999.

via GIPHY


Bagi edisi 2018 aka Nokia 8110 4G, kami berkesempatan untuk mencubanya. Malah saya sendiri menyahut cabaran untuk menggunakannya selama sehari dan ini ulasannya.

REKAAN IKONIK


Saya tidak pernah menggunakan 8110 lama, namun apa yang boleh dikatakan tentang rupa luaran versi 4G ini adalah outstanding! Dari segi rekaan, keselesaan ketika memegang hinggalah aspek luarannya, semuanya dihasilkan dengan baik dan unik.

Jujur saya katakan tiap kali mengeluarkan telefon ini, ramai bertanya apakah telefon yang saya sedang guna. Oh ya, untuk makluman anda, slide telefon ini perlu dibuka secara manual dan bukannya automatik. Apabila dibuka maka muncul lah papan kekunci T9.

PENGGUNAAN SEHARIAN


Secara jujurnya menggunakan telefon ini pada awalnya agak sukar tetapi interesting.

Ya biarpun pernah menggunakan telefon jenis ini (telefon pertama saya Nokia 3310), namun ia mungkin sudah berlalu lebih 10 tahun yang lalu.

Bukan hanya saya, namun majoriti rakan yang mencuba akan tertekan pada skrin Nokia ini. Kami terlupa ia bukanlah skrin sentuh. Hanya terdapat butang navigasi empat arah, menekan pilihan, jawab dan tutup panggilan serta papan kekunci.

CABARAN BERMULA


Seperti mana telefon lain, pertama kali saya mendapat peranti ini adalah melihat sistem antaramuka (user interface). Not bad! Sama seperti Nokia yang dahulu, cuma telah ditambah beberapa aplikasi seperti YouTube. Permainan ikonik Snake juga tetap ada!

Untuk makluman, Nokia 8110 hanya dilengkapi 2 Megapixel (MP) dengan LED flash. Kualitinya? Anda saksikan sendiri di bawah.



TAIP DAN POST KE FACEBOOK


Selain cuba untuk mengambil gambar menggunakan peranti ini, saya juga cuba menaip dan melayari Facebook menggunakan Nokia 8110.

Hasilnya? Saya mengambil masa untuk membiasakan diri menaip menggunakan papan kekunci lama ini. Agak lambat tetapi mengimbau kenangan. Budak-budak sekarang mesti tidak tahu kesusahan ini.

Setiap huruf memerlukan pergerakkan lebih kurang tiga klik, jadi anda kiralah jika saya mahu menaip status di Facebook. Tetapi menariknya walaupun agak lambat dan kekok, namun saya tetap berjaya!

Anda boleh lihat posting saya di bawah.


Gambar di atas dimuat naik terus ke Facebook menggunakan browser daripada Nokia 8110.

Sepanjang menggunakan Nokia ini, saya dapati baterinya agak baik. Nokia mendakwa 8110 mampu bertahan selama 25 hari dalam keadaan standby.

Malah dengan penggunaan 4G, anda boleh jadikan 8110 ini sebagai alat perkongsian data yang mampu berkongsi hampir 10 peranti berlainan.

VERDICT


Nokia 8110 berjaya mengembalikan nostalgia dengan rekaan yang sungguh unik. Takkala kita dibanjiri dengan rekaan telefon yang serba petak, Nokia 8110 muncul dengan craftmanship yang sungguh unik.

Cuma apa yang membuat saya sedikit kecewa adalah ia tidak disokong dengan aplikasi WhatsApp biarpun ada dakwaan mengatakan ia akan muncul di platform ini tidak lama lagi.

Untuk saya yang perlu menggunakan WhatsApp untuk kerja harian, maka agak sukar untuk mengekalkan penggunaannya dalam masa sehari.

Peranti ini lebih sesuai untuk anda yang mahu mencari telefon kedua atau mahu menggunakan ia sebagai platform perkongsian internet. Malah jika anda mahukan sesuatu yang unik juga boleh cuba Nokia 8110 4G ini.

ADA PILIHAN NOKIA 3.1


Biarpun begitu, jika anda mahukan segala fungsi yang lebih terkini mungkin anda boleh cuba Nokia 3.1 yang mempunyai skrin 5.2 inci dengan resolusi 720p.

Nampak je kecil, namun ia cukup untuk melakukan tugas asas harian anda. Ia dikuasakan dengan cip pemprosesan lapan teras dan 2GB RAM. Kamera pula 13MP.

Nokia 3.1 yang menggunakan sistem Android One dijual pada harga RM655.