Perkhidmatan mewakili pihak lain untuk berdoa di Makkah yang ditawarkan Valet Doa menerusi Facebook nyata mengundang polemik dan tanda tanya ramai khususnya umat Islam sendiri sehingga kini. Ada yang beranggapan ia adalah suatu perbuatan yang tidak sepatutnya berlaku yang menjadikan doa sebagai medium bisnes sehingga melihat seolah Islam sendiri dipermainkan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri sudah memberikan kenyataan pada 15 Februari iaitu Valet Doa yang disertakan dengan pakej pada harga berbeza seperti mengikut tahap mustajab doa adalah sama sekali tidak menepati Islam yang sebenar mahupun mengikut syariat. Malah, beliau juga berpandangan pakej yang dijual itu sangat tidak berakhlak dan mengelirukan apatah lagi secara jelas menunjukkan sifat komersial dan manipulasi doa. Justeru, beliau menyarankan perniagaan tersebut dibatalkan agar Islam dilihat mengikut syariat dan terhindar daripada fitnah serta eksploitasi ibadah.

Pakej Valet Doa yang ditawarkan kepada pelanggan. (Gambar: Valet_Doa - Facebook)

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula menyatakan adalah tidak wajar doa dijadikan produk atau perkhidmatan komersial kerana mempergunakan agama dan mencemarkan kesuciaan Islam. Sungguhpun Mufti dan JAKIM sudah tampil memberi kenyataan, Valet Doa masih diteruskan menerusi perkhidmatan mereka yang boleh diakses menerusi Facebook.

Pengasasnya, Nasrin Harin atau Haji Arin dalam kenyataannya pada 18 Februari lalu berkata, dia hanya melakukan penambahbaikkan susulan teguran tersebut iaitu menerusi 'copywriting' di Facebook page, Valet_Doa untuk memastikan sebarang salah faham dan kekeliruan tidak lagi timbul dengan menukar perkataan 'confirm makbul' kepada ' Insha Allah makbul' manakala jaminan wang dikembalikan digantikan dengan mewaqafkan naskah al-Quran ke Masjidil Haram atas pengiriman doa.