Mungkin kita pernah bertemu dengan orang yang melanjutkan pengajian bidang lain tetapi memiliki kerjaya dalam bidang lain. Mana mungkin minat yang selama ini terpendam dibiarkan begitu sahaja tanpa diusahakan. Bagi wanita ini pula, jiwa berniaga dalam dirinya tidak disia-siakan malah dari minat itulah ia bercambah menjadi realiti.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Utara Malaysia ini, Edora atau nama penuhnya Normadora Mohd Nor lebih selesa berniaga dan menguruskan perniagaan barang kemas yang dimilikinya bersama rakan kongsi, Angsa Emas Jewellery. Terletak di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, kedai barang kemas milik Edora mengutamakan koleksi trend semasa dan up to date.

Berbangga dengan kedai emas miliknya.

Menurut Edora, "Kami tidak pernah terbayang mempunyai kedai emas sendiri, semuanya bermula dari sekadar minat berniaga, saya memulakan perniagaan di Instagram dan Facebook. Kemudian kami kumpul modal sedikit demi sedikit guna duit berniaga sepenuhnya dan kami mula buka satu pejabat kecil untuk bertemu pelanggan. Dari situ, sambutan yang menggalakkan kami terima sampai pejabat tak muat nak tampung kehadiran pelanggan, kami memilih untuk membuka kedai terus.

Ibu kepada dua orang puteri ini cukup bersyukur dengan kehadiran suami, Zulhilmi Mukhtar selaku rakan niaganya. Suaminya yang merupakan graduan kejuruteraan mekanikal dari Universiti Akita, Jepun ini sentiasa memberikan sokongan dan dorongan pada Edora untuk berjaya. "Kami bersama rakan kongsi bermula dari kosong. Sikit-sikit belajar, dengan adanya displin dan pengurusan kewangan yang betul, kami selalu saling berbincang hingga berjaya tubuhkan Angsa Emas. Awalnya bukan senang. Saya pernah menangis akibat tekanan kerana tak tahu nak uruskan tempahan pelanggan dan alhamdulillah sistem pengurusan yang betul banyak membantu", jelasnya lagi.

Antara koleksi terkini di Angsa Emas.

Selain suami sebagai tulang belakang, Edora turut menghargai jasa keluarga, pekerja-pekerjanya dan rakan kongsi yang turut sama bergerak sebagai satu pasukan Angsa Emas Jewellery.

Memiliki kedai emas di usia 31 tahun.

Mengutamakan rekaan dan corak terkini, ramai pelanggannya memilih bentuk ala gelang Pandora dan bentuk yang unik asalkan tidak terlalu berat gramnya. Ada diantara pelanggannya yang terdiri dari kalangan selebriti serta altet terkemuka negara.

Pelanggan yang mahu membeli emas perlu kenalpasti matlamat anda membeli emas sama ada untuk perhiasan ataupun pelaburan. "Jika anda membeli emas untuk tujuan pelaburan, belilah emas yang padu tanpa campuran bahan lain seperti batu. Kebiasaannya corak emas padu ni ringkas sahaja. Tetapi jika anda mahu membeli emas untuk dipakai, emas untuk dipakai selalunya dicampur dengan batu-batuan untuk kelihatan cantik. Emas 916 sering menjadi tumpuan kerana ia boleh dijadikan perhiasan dan juga pelaburan pada masa yang sama", ulas Edora mengenai barang emas.

Rekaan yang mendapat permintaan tinggi.

Bagi anda yang minat berniaga dan bercita-cita mahu membuka perniagaan, Edora menasihati anda agar sentiasa berusaha dan banyakkan bersabar jika berdepan halangan dan cabaran. "Displin amatlah penting dalam sesebuah perniagaan. Anda perlu displinkan diri sendiri, barulah pekerja-pekerja akan ikut. Selain itu, perniagaan mesti diuruskan mengikut sistem pengurusan yang betul. Kewangan perniagaan juga perlu dijaga rapi dan utamakan pemasaran untuk perniagaan anda dkenali. Dengan adanya semua ini, barulah perniagaan anda akan maju", ujar Edora.