Anugerah pilihan peminat paling lama bertahan, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (APBBH) kembali lagi untuk edisi ke-30 yang dikenali dengan ABPBH 3.0. Paling best, ABPBH kali ini tampil dengan tema Futuristik.

Dalam satu kenyataan kepada Rojak Daily Kaw! dimaklumkan ABPBH 3.0 menampilkan konsep berbeza sesuai dengan kematangan dan keutuhan akhbar BH yang bakal meraikan ulang tahun ke-60, Julai depan.

Konsep futuristik akan diinterpretasi melalui setiap aktiviti promosi dan publisiti ABPBH 3.0.

Usaha ini akan merentasi semua platform dengan memberi penekanan terhadap media sosial dan platform digital utama. Acara utama sudah pasti malam kemuncak ABPBH 3.0 yang akan disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 14 Mei depan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ABPBH 3.0 yang juga Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir berkata, ABPBH dianjurkan bagi memberi pengiktirafan bukan saja kepada penggiat seni tanah air, malah memberi peluang kepada pembaca memilih artis pujaan melalui undian secara online.

Shamshul Azree berkata, penganjur mengubah kaedah pengundian yang dilakukan secara online 100 peratus di laman web ABPBH iaitu www.abpbh.com.my mulai 5 April sehingga 30 April depan.

Tiada bayaran dikenakan untuk undian yang dibuat.

Beliau berkata calon perlu mempunyai produk yang dihasilkan mulai Januari hingga Disember 2016.

"Nama yang dicalonkan mestilah popular dan memberi impak kepada industri hiburan tanah air. Peminat mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan pemenang setiap kategori," katanya.

Shamshul Azree berkata sebanyak 18 kategori dipertandingkan termasuk lima kategori online.

Beliau berkata pemenang Bintang Paling Popular akan dipilih berdasarkan undian tertinggi dalam kategori utama yang dipertandingkan.

Berikut ialah 13 kategori utama yang dipertandingkan:

1) Artis Baharu Lelaki Popular

2) Artis Baharu Wanita Popular

3) Artis Duo/Berkumpulan Popular

4) Penyanyi Lelaki Popular

5) Penyanyi Wanita Popular

6) Pelakon TV Lelaki Popular

7) Pelakon TV Wanita Popular

8) Pelakon Filem Lelaki Popular

9) Pelakon Filem Wanita Popular

10) Artis Komedi Popular

11) Penyampai Radio Popular

12) Pengacara TV Popular

13) Artis Versatil Popular

Lima kategori Online pula ialah:

1) Gandingan Serasi Drama

2) Gandingan Serasi Filem

3) Personaliti Media Sosial

4) Artis Berpengaruh di Laman Sosial

5) Artis Sensasi