Baru-baru ini aplikasi WhatsApp telah pun melancarkan perkhidmatan panggilan video kepada pengguna iOS dan Android.

Pengguna iOS terlebih dahulu sudah mendapat kemas kini panggilan video namun ia masih belum tersedia buat sebahagian pengguna Android.

Menurut laporan Mstar, ketika pengguna menanti kemaskini yang akan membolehkan panggilan video dilakukan, ada beberapa penipuan (scammer) muncul dengan cara yang akan membuatkan pengguna memuatnaik ‘software jahat’ (malware) pada peranti masing-masing.

Penipuan ini berlaku dengan jemputan yang tertera ‘anda dijemput untuk mencuba ciri panggilan video WhatsApp’ dan meminta anda untuk tekan pautan yang diberikan untuk mengaktifkannya.

Pautan tersebut kemudiannya akan membawa anda ke sebuah laman web yang mencurigakan dengan URL 'whatappvideooline.com' (perhatikan ejaan salah WhatsApp).

Apabila anda klik pada link tersebut, ia akan memuatnaik 'malware' pada telefon pintar anda yang kemudian meminta anda untuk menghantar jemputan kepada lebih empat rakan, sekali gus akan menyebarkan malware kepada lebih ramai orang.

Jika anda belum menerima apa-apa kemas kini, anda hanya perlu tunggu notification rasmi dari Google Play. Anda juga boleh membuat kemas kini secara manual dalam Google Play, pastikan anda melakukannya dari aplikasi WhatsApp Inc.