Seramai 1.6 juta penjawat awam yang berkhidmat ketika ini dihargai kerajaan apabila turut diberi perhatian dalam peruntukan Bajet 2017 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini. Paling menggembirakan adalah pengumuman bayaran khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam manakala RM250 kepada pesara kerajaan yang akan dibayar pada awal Januari 2017.

Bagi kemudahan cuti belajar dengan gaji dibayar penuh bersama biasiswa yang sebelum ini hanya diberikan kepada Kumpulan Pengurusan dan Profesional tetapi kini dinikmati juga kepada Kumpulan Pelaksana.

"Pemberian Cuti Kuarantin kepada penjawat awam yang anaknya sakit dan perlu dikuaratin menerusi cuti tanpa rekod sebanyak 5 hari. Ketiga, kalau seperti sedia ada kemudahan pembiayaan diberikan kepada pembelian komputer, bajet kali ini memutuskan agar kemudahan ini diperluaskan meliputi pembelian 'smartphone' dengan had pinjaman sehingga RM5,000 bagi setiap tiga tahun.

"Tidak cukup dengan itu, kerajaan memutuskan bahawa had pinjaman pembelian motosikal akan dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000," katanya.

Tambahnya, kerajaan tetap mengambil berat mengenai perumahan penjawat awam dan terus komited agar mereka memiliki rumah sendiri.

"Sukacita Kerajaan bersetuju menaikkan kelayakan pinjaman perumahan penjawat awam daripada serendah-rendahnya RM120,000 kepada RM200,000 manakala pinjaman paling tinggi sebelumnya RM600,000 kini dinaikkan kepada RM750,000. Sebanyak 30,000 unit lagi Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia akan disiapkan dengan harga jualan sekurang-kurangnya 20 peratus di bawah harga pasaran yakni berharga antara RM90,000 sehingga ke RM300,000.

"Kepada pegawai 'contract of service' dan 'contract for service' yang akan tamat pada penghujung tahun ini pula, usahlah bimbang, kontrak tuan-tuan dan puan-puan akan kerajaan lanjutkan sekurang-kurangnya setahun lagi," katanya.

Katanya, bagi mengatasi masalah doktor pakar yang mahu meninggalkan perkhidmatan awam atas isu kelewatan naik pangkat, kerajaan memandang serius perkara tersebut dan mengumumkan satu lapisan gred baru, gred 56 antara gred 54 dan JUSA C diwujudkan bagi pegawai perubatan pakar dan pegawai pergigian pakar.

"Kesembilan, kerana kekangan jawatan tetap, kerajaan mengambil keputusan melantik secara kontrak kumpulan pertama graduan perubatan, pergigian dan farmasi selewat-lewatnya Disember 2016," katanya.