Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan pertumbuhan ekonomi negara masih kekal stabil dan mampan bagi separuh pertama tahun ini. Malah, ekonomi negara terus berkembang pada kadar 4.1 peratus dan yakin sasaran pertumbuhan 4 hingga 4.5 peratus pada tahun 2016 dan 4 hingga 5 peratus pada 2017 akan tercapai.

Menurutnya, negara kini berada di landasan betul kerana berani membuat membuat keputusan-keputusan yang tepat walaupun tidak popular.

"Saya hendak nyatakan di sini bahawa 'all those major and crucial decisions were deliberately done'. Bak kata pepatah Melayu, Menyediakan Payung Sebelum Hujan dengan mempasak dan memancang, 'foundation' yang kukuh demi kedudukan jangka masa panjang kewangan dan ekonomi negara," katanya dalam ucapan Bajet 2017 di Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.

Tambahnya, kegigihan dan perancangan kerajaan dengan menumpukan kepada beberapa dasar strategik sejak tahun 2010 membuahkan hasil iaitu pertama, mempelbagaikan sumber hasil kerajaan terutama mengurangkan kebergantungan hasil negara daripada sektor minyak dan gas sebanyak 41.3 peratus pada tahun 2009 kepada 14.6 peratus (2016).

"Hasil daripada mempelbagaikan ekonomi secara lebih meluas ini, pertumbuhan ekonomi negara dapat dipertahankan dan masih terpelihara, sungguhpun harga minyak telah merosot hampir 50 peratus.

"Keduanya, langkah berani kerajaan memperkenalkan GST untuk meluaskan sumber pendapatan kerajaan. Perlu kita sedar, hasil cukai langsung dari individu hanyalah terdiri daripada 2.1 juta pembayar sahaja daripada 14.6 juta jumlah warga kerja negara.

"Tambahan pula, dengan kejatuhan harga minyak, dianggarkan kerajaan kehilangan pendapatan kira-kira RM30 bilion setahun daripada sumber cukai pendapatan, cukai korporat, royalti, dividen PETRONAS dan cukai petroleum. Adanya GST, kerajaan berupaya menampung perbelanjaan di kala sumber yang lain berkurangan," katanya.

Najib berkata, kutipan GST sebanyak hampir RM30 bilion ringgit berjaya dikutip sehingga 19 Oktober lalu.

"Apa yang pastinya, ingin saya tegaskan di sini, janganlah percaya gembar-gembur bahawa kadar GST akan dinaikkan. Itu cuma cakap-cakap kosong dan tidak benar sama sekali.

"Langkah ketiganya, Rasionalisasi Subsidi sebagai contoh, jika hendak dibandingkan bagi minyak pada tahun 1995, masa itu subsidi hanyalah RM123 juta. Jumlah ini hanya mewakili 0.24 peratus daripada bajet keseluruhan negara. Kemuncaknya, pada tahun 2012 mencecah jumlah subsidi RM24.8 bilion ringgit atau 9.8 peratus daripada bajet keseluruhan negara.

"Secara langsungnya, dasar subsidi pukal jelas membebankan kewangan negara dan menggalakkan ketirisan, dan kita telah ganti dengan subsidi bersasar, yang manfaatnya sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan," katanya.