Kecantikan bagi seorang ratu itu diukur pada bijaknya berkata-kata, yakin dan selesa dengan tubuh, solekan tebal dan tentunya aksi dalam pakaian renang. Stereotaip beginilah yang ingin diubah Halima Aden, gadis kelahiran kem pelarian Kenya yang berhijrah ke Amerika Syarikat pada usia enam tahun.

Menurut artikel daripada Metro.co.uk, dari kalangan 45 peserta yang bertanding, kemunculan Aden berjaya mencuri perhatian ramai. Keunikan dan keberaniannya telah melayakkan pelajar kolej berusia 19 tahun ini berjaya ke peringkat separuh akhir bersama-sama 14 peserta yang lain. Walaupun gagal ke peringkat akhir dan membawa pulang hadiah utama sebuah biasiswa, Aden berjaya memecah stereotaip dan mencatat sejarah tersendiri dalam acara ratu cantik Miss Minnesota.

Meridith Gould, wanita berusia 22 tahun dari Minneapolis telah dimahkotakan sebagai juara 2017 Miss Minnesota USA dan akan bersaing di pentas Miss USA Pageant tahun hadapan.