Perayaan Tahun Baharu Cina akan berlangsung tak lama lagi, pastinya jalan dan lebuh raya utama negara akan dilimpahi kenderaan untuk ke destinasi masing-masing.

Sehubungan dengan itu juga, Ops Selamat Ke-14 akan diadakan bersempena Tahun Baharu Cina 2019 yang akan bermula dari 29 Januari hingga 12 Februari ini.

Ramai akan berpusu pulang ke kampung.

Sepanjang berlangsungnya Ops Selamat ini, pengguna jalan raya diminta supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan selain menjamin keselamatan di sepanjang musim perayaan.

Kalau ada diantara anda yang melanggar enam kesalahan ini, RM300 bakal melayang.

Enam kesalahan jalan raya yang akan dikenakan saman RM300 serta-merta adalah:

  1. Memandu di lorong kecemasan
  2. Melebihi had laju
  3. Memotong barisan
  4. Memotong garisan berkembar
  5. Tidak mematuhi lampu isyarat
  6. Menggunakan telefon bimbit ketika memandu

Memetik kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim di Berita Harian, statistik saman mencatatkan peningkatan dengan 385,547 saman dikeluarkan pada tahun 2018 berbanding 255,392 pada tahun 2017.

Memandu di lorong kecemasan adalah salah.

Bagi statistik kemalangan, ia turut menunjukkan peningkatan iaitu 21,041 kes pada tahun lalu berbanding 20,752 kes pada 2017.

Selain itu, pihak PDRM juga sedang dalam pertimbangan untuk membuka laluan kecemasan bagi dua laluan kritikal di Perak kepada semua kenderaan pada musim perayaan ini bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas.

Antara laluan kritikal, Simpang Pulai - Gopeng.

Dua laluan kritikal tersebut adalah:

  1. Kilometer 287 hingga Kilometer 289.95 Lebuhraya Utara-Selatan di Simpang Pulai -Gopeng berhampiran Hentian Simpang Pulai.
  2. Kilometer 367.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dari Slim River ke Sungkai.

Pihak polis juga akan ditempatkan di dua laluan kritikal ini untuk memastikan perjalanan kenderaan berjalan lancar.

Pandu cermat jiwa selamat, berhentilah dari menyumbang kepada statistik kemalangan dan saman bagi tahun 2019 ini.