Pelakon berasal dari Ipoh Perak yang telah menempa nama di persada antarabangsa, Tan Sri Michelle Yeoh bakal membintangi drama bersiri Star Trek: Discovery.

Gambar: CBS

Bakal mengambil peranan sebagai 'Starfleet Captain', perkara itu disahkan sendiri oleh pengarah yang bakal mengarahkan drama berkenaan, Nicholas Meyer.

Menurut portal deadline, sumber produksi ada memberitahu bahawa aktres ini bakal menjadi seorang kapten kapal bernama Han Bo dan mengetuai sebuah kapal bernama Shenzhou.

Sebelum ini Michelle Yeoh terkenal dengan watak sebagai Yu Shu Lien menerusi filem Crouching Tiger, Hidden Dragon dan sekuelnya, Sword of Destiny.

Terus mencipta nama dan membanggakan Malaysia, Michelle juga terlibat dalam filem Memoirs of a Geisha, Reign of Assassins dan drama bersiri Marco Polo.

Drama Star Trek: Discovery dijangka akan bersiaran pada Mei 2017 di CBS Television Network.