Sensasi hidup bermadu Adi Putra bersama dua isteri akhirnya bertemu noktah. Pelakon kelahiran Singapura yang berlakon di Malaysia itu mendedahkan dirinya tidak lagi mempunyai kaitan dengan Aida Yusof (isteri pertama) dan Norshahida Dzolkifly atau Shahida (isteri kedua) menerusi laman Instagramnya hari ini.

Pendedahan itu dirumuskan Rojak Daily Kaw! jelas mengiyakan spekulasi kedua rumah tangganya yang dikatakan seperti telur di hujung tanduk sebelum ini.

Gambar bekas kedua-dua isteri Adi Putra yang dimuat naik ke laman Instagram beliau. (Kredit Gambar: Instgram Adi Putra @adpadiputra)

“Ramai yang bertanyakan mengenai status rumah tangga saya. Di sini saya ingin nyatakan saya tidak ada apa-apa hubungan dan kaitan lagi dengan Aida dan Shahida. Kepada rakan media yang saya hormati, tiada apa apa kenyataan lagi untuk diberi.

“Dan berilah penghormatan kepada Aida dan Shahida supaya tidak diganggu. Terima kasih,” tulisnya di laman Instagram di bawah nama @adpadiputra yang memuat naik gambar wajah dua bekas isterinya itu.

Baru-baru ini, Adi Putra dikatakan kononnya membuat pendaftaran untuk bercerai dengan bini pertamanya. Ketika berita itu bertebaran Adi Putra berada di Makkah. Berita itu bukan yang pertama kerana sekitar tahun 2012, Adi Putra pernah melakukan hal sama. Bagaimanapun ketika itu, selepas sembilan hari permohonan dibuat, mereka mengambil keputusan untuk berbaik semula.

Status yang ditulis bersama gambar yang dimuat naikkan di instagram Adi Putra. (Kredit Gambar: Instgram Adi Putra @adpadiputra)

Sensasi Adi berkahwin kali kedua dengan Shahida turut mengejutkan dunia hiburan tempatan. Adi berkahwin dengan Shahida secara sulit pada Jun tahun lalu. Perkahwinan itu dikatakan tidak diketahui Aida sendiri sebagai isteri pertama. Malah menerusi perkahwinan kedua pun, berita rumah tangganya bermasalah pernah tersebar tetapi dinafikan Adi Putra.