Dalam keadaan ekonomi dan kos sara hidup menjadi isu hangat dalam kalangan masyarakat ketika ini, satu cara paling mudah menambah pendapatan boleh dilakukan dengan hanya menjual minyak masak terpakai. Memang benar, minyak masak terpakai yang tidak digunakan lagi boleh ditukar dengan wang ringgit sebanyak RM1 untuk satu kilogram.

Minyak masak yang dijual ini akan diproses menjadi biodiesel menerusi kempen Pengumpulan Minyak Masak Terpakai anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama CIMB Foundation.

Ketua Unit Jalinan Industri dan Masyarakat, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM, Prof Dr Mohd Ali Hassan berkata, proses dikenali sebagai ‘tranesterifikasi’ menjadikan minyak masak terpakai kepada minyak biodiesel akan memberi manfaat untuk kegunaan kenderaan berat seperti traktor dan bas.

Tambahnya, proses ini menggunakan campuran bahan kimia terdiri daripada methanol, pemangkin (catalyst) dan minyak masak terpakai yang mengambil masa selama enam jam untuk menghasilkan 100 liter biodiesel yang tempoh seminggu, katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Orang ramai boleh membawa minyak masak terpakai ini ke tiga pusat pengumpulan di UPM iaitu Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB) dan Loji Pandu Biokompos di Kompleks Biorefinery.