Bergelar juara dunia dalam acara Keirin sememangnya menjadi kejayaan paling bermakna buat pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang yang meraih pingat emas pada Kejohanan Trek Dunia di Hong Kong, malam tadi.

Paling manis, pencapaian itu adalah penantian yang ditunggu pelumba The Pocketrocket Man ini sejak sedekad lalu. Menerusi akaun Facebook, Azizulhasni Awang menyatakan kejayaan ini hasil daripada usaha bersungguh-sungguh dirinya untuk meraih gelaran juara dunia.

"Sejak tahun 2007 ketika saya mula menyertai peringkat elit, saya terus mengejar kejuaraan ini. Meskipun pernah mendapat gangsa, perak dua kali dan tewas hanya beberapa milimeter tetapi saya tidak pernah putus asa.

"Saya percaya jika bekerja keras dan percaya pada diri sendiri, masa untuk saya akan tiba. Setiap hari ketika menjalani sesi latihan, saya sering memaksa diri mencapai tahap paling sukar. Orang lain berkata saya tidak boleh berjaya dalam sukan kerana saiz fizikal dan akhirnya impian saya bergelar juara dunia menjadi kenyataan," katanya.

Tambahnya, dia sering berdoa setiap hari pada Tuhan agar dianugerahkan kejayaan ini. Sebagai meraikan kemenangannya itu bersama peminat dan rakyat Malaysia, dia turut memuat naik gambarnya tidur bersama jersi dan pingat emas yang menjadi miliknya itu.