Sebut saja Uber, pasti ia antara aplikasi yang wajib ada pada telefon pintar anda ketika ini. Sejak 2016 Uber mempunyai lebih kurang 40 juta pelanggan aktif pada setiap bulan.

Penggunaannya yang mudah dan mesra pelanggan menjadikan ia perkhidmatan paling popular ketika ini.

Namun, di sebalik populariti dikecapi Uber ini, nampaknya terdapat satu berita buruk yang melanda syarikat itu baru-baru ini.

Bukan hanya membabitkan masalah dalaman mereka, malah secara tidak langsung turut memberi impak kepada ramai pengguna seluruh dunia.

PENCEROBOHAN DATA PENGGUNA

Uber antara perkhidmatan pengangkutan paling popular ketika ini.
Menurut laporan Fortune, sebahagian data Uber telah digodam dan diceroboh membabitkan maklumat peribadi penumpang dan pemandunya pada tahun lalu.

Lebih membimbangkan, jumlah data peribadi yang digodam bukan sedikit tetapi mencecah 57 juta.

Menurut Ketua Eksekutif Uber, Dara Khosrowshahi, masalah terbabit didapati berlaku apabila dua individu didapati memuat turun data daripada pengkomputeran awan pihak ketiga yang digunakan oleh Uber.

PENGGUNA DINASIHATKAN BERJAGA-JAGA

Data terbabit mengandungi maklumat peribadi seperti nama, e-mail, nombor telefon membabitkan 57 pengguna seluruh dunia.

Tidak cukup dengan itu, maklumat lesen memandu membabitkan 600,000 pemandu Uber di Amerika Syarikat juga telah dimuat turun.

Uber menyatakan mereka sedang mengenal pasti keadah terbaik untuk membaik pulih sistem keselamatan data perkhidmatan mereka.

Biarpun tidak dinyatakan sejauh mana jumlah pengguna dan pemandu Uber di Malaysia yang terkesan, orang ramai diluar sana dinasihatkan berjaga-jaga dengan setiap panggilan membabitkan data peribadi anda.

Baik pengguna mahupun pemandu, anda harus berwaspada. Tidak dinafikan Uber kini menjadi pekerjaan sampingan bagi sesetengah individu untuk menambah pendapatan.

Ini terbukti apabila pada tahun lalu saja, jumlah pendapatan dijana oleh seluruh pemandu uber di seluruh dunia mencecah antara AS$1.5 bilion ke AS$2 bilion.