SKOP
Anda Boleh Cuba Cara Ini Untuk Sekat Panggilan 'Spam'
Kadangkala telefon bimbit kita tiba-tiba dihubungi individu tidak dikenali sama ada di rumah atau pada waktu bekerja. Mereka ini menawarkan pelbagai produk atau perkhidmatan termasuk berkaitan kewangan atau insurans.
Situasi itu mungkin tidak menjadi hal kepada mereka yang sememangnya berminat dengan tawaran itu. Bagaimanapun ia boleh menjengkelkan mereka yang langsung tidak berminat kerana perlu melayan 'desakan' pemanggil di talian.
Jika tidak dilayan, berkemungkinan besar mereka akan berulang-ulang cuba menghubungi kita untuk menawarkan sesebuah perkhidmatan atau produk menyebabkan telefon bimbit berdering tanpa mengira waktu. Membosankan!
Lebih dikhuatiri jika produk atau perkhidmatan yang ditawarkan sama ada melalui panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS) itu melibatkan sindiket penipuan yang memungkinkan kita ditipu ribuan ringgit.
Dalam istilah teknologi telekomunikasi, panggilan telefon dan SMS yang tidak diingini seperti itu digelar sebagai 'spam'.
BAGAIMANA MEREKA DAPAT MAKLUMAT PERIBADI?
Timbul pula persoalan bagaimana individu yang menawarkan produk dan perkhidmatan itu memperolehi nombor telefon kita. Malah, sebahagiannya mempunyai serba-sedikit maklumat peribadi seperti pendapatan dan sebagainya. Isu ini ada ketika masih misteri sehingga kini apatah lagi pemanggil enggan mendedahkan sumber maklumat yang diperolehinya..
Mungkin ramai mereka yang pernah berhadapan dengan panggilan atau mesej spam tersebut sekadar tertanya-tanya tentang persoalan itu tanpa menyedari sebenarnya terdapat peruntukan undang-undang untuk mereka bertindak bagi mendapatkan kepastian.
Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 menetapkan mereka yang menerima panggilan atau SMS seperti itu boleh membuat permintaan secara bertulis kepada mana-mana pihak atau syarikat yang menggunakan butiran perhubungan mereka untuk tujuan telepemasaran.
Syarikat atau pihak yang tidak mematuhi notis bertulis itu boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 atau dipenjara ssehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Namun, realitinya ia agak sukar untuk dilaksanakan kerana menjadi perkara yang remeh pula untuk kita mengenal pasti setiap syarikat yang melakukan promosi dan kemudian menghantar notis bertulis sebelum membuat aduan rasmi kepada pihak berkuasa sekiranya mereka tidak mematuhi tuntutan berkenaan.
MALAYSIA PALING BANYAK PANGGILAN SPAM
Menurut kenyataan daripada pengurusan aplikasi Truecaller - Caller ID & Block yang berpangkalan di Stockholm, Sweden, panggilan spam yang tidak diingini sebenarnya kian meningkat di seluruh dunia, bukan sahaja di Malaysia.
Bagaimanapun. situasi tersebut dilaporkan tidak asing di Malaysia kerana pengguna di negara ini dikesan paling banyak menerima panggilan seperti itu berbanding negara-negara jirannya.
Dalam laporan 'Truecaller Insights: Top Spammers in Malaysia in 2017' yang diterbitkan baru-baru ini, pengguna Truecaller di Malaysia lazimnya menerima lebih tujuh panggilan spam setiap bulan berbanding empat panggilan spam diterima pengguna di Singapura dan Thailand manakala pengguna di Vietnam cuma menerima dua panggilan seperti itu pada setiap bulan.
PERKHIDMATAN KEWANGAN TERBANYAK
Berdasarkan laporan itu, panggilan spam paling banyak direkodkan di Malaysia melibatkan perkhidmatan kewangan yang merangkumi 67 peratus daripada keseluruhan panggilan spam yang diterima.
Kebiasaannya ia melibatkan penawaran produk perbankan atau panggilan tanpa permintaan pelanggan daripada syarikat-syarikat kad kredit.
Satu lagi masalah utama panggilan spam yang perlu dihadapi rakyat Malaysia ialah panggilan telepemasaran yang melibatkan 13 peratus daripada keseluruhan jumlah panggilan spam.
Panggilan telepemasaran seterusnya boleh dibahagikan kepada panggilan promosi daripada syarikat-syarikat, tinjauan yang dilaksanakan oleh firma analisis bagi pihak pelanggan mereka ataupun usaha mendekati pelanggan untuk penawaran perkhidmatan atau tujuan langganan.
Selain itu, sembilan peratus daripada jumlah panggilan spam di Malaysia adalah berkaitan perkhidmatan insurans dan panggilan operator (empat peratus), manakala panggilan tuntutan hutang, gangguan dan penipuan merangkumi enam peratus daripada panggilan spam.
APLIKASI TRUECALLER BANTU TANGANI PANGGILAN SPAM
Justeru, kepada mereka yang bercadang untuk mengelakkan daripada terus menerima panggilan atau SMS spam atau mahu bertindak kepada pemanggil berdasarkan peruntukan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 mungkin boleh mula menggunakan Truecaller.
Aplikasi itu memudahkan pengguna mengetahui siapakah yang menghubungi mereka hanya dengan melihat 'Pengecaman Identiti Pemanggil' walaupun nombor telefon tersebut tidak disimpan di dalam telefon mereka.
Truecaller juga membolehkan pengguna menyekat panggilan serta SMS dan membuat laporan pemanggil dan penghantar mesej spam. Pada masa ini terdapat lebih 250 juta individu di seluruh dunia menggunakan Truecaller.
Malah, nombor-nombor telefon asing yang tidak dikenali juga boleh diperiksa dengan Truecaller. Aplikasi ini pada masa ini disediakan untuk peranti Android dan iOS.
Must-Watch Video