SKOP
Apa Beza Kerjasama Proton - Geely dengan Proton - Mitsubishi?
Pada 23 Jun lalu, satu perjanjian kerjasama strategik ditandatangani antara DRB-Hicom Bhd. (DRB - Hicom) dan Zhejiang Geely Holding Group (Geely) menyaksikan syarikat dari China itu memuktamadkan pembelian kepentingan Proton Holdings Bhd (Proton).
Kerjasama strategik itu disifatkan sebagai penting untuk perkembangan syarikat kereta Malaysia itu ke persada antarabangsa dan pada masa sama tidak membazirkan duit rakyat untuk membiayai model perniagaan yang tidak menjana pulangan.
Bagaimanapun, sebahagian rakyat Malaysia memperlekehkan kerjasama itu memandangkan Geely merupakan sebuah syarikat perniagaan dari China sedangkan Proton pernah menjalin kerjasama dengan Mitsubishi sebelum ini seperti yang mereka sebarkan di media sosial sebelum ini.
PROTON MASIH BERTAHAN
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam kenyataan sebelum ini mengingatkan orang ramai khususnya pihak-pihak tertentu di luar sana supaya tidak terlalu bersentimen tinggi, beremosi dan jumud dengan kerjasama strategik itu.
Beliau yang mempunyai pengalaman luas dan pernah berkecimpung lama dalam industri automotif termasuk menjadi Pengarah Urusan Cycle and Carriage selama 10 tahun sejak 1994 menegaskan tiada bezanya di antara kerjasama Proton - Geely dengan Proton - Mitsubishi suatu ketika dulu.
Baginya, kerjasama itu adalah suatu urus niaga yang baik memandangkan Geely merupakan syarikat besar yang mengeluarkan berjuta kereta setahun di China dengan pelbagai model sekali gus dapat memastikan Proton menjadi entiti perniagaan yang mampan dan berdaya maju.
"Sebagai suatu amalan atau secara prinsipnya, sesuatu syarikat kereta, jika mereka tidak mengeluarkan dan menjual lebih daripada satu juta unit setahun, syarikat tersebut dikira tidak lagi berdaya maju.
"Proton dapat bertahan selama ini, walaupun pada pandangan saya tidak berdaya maju kerana menjual tidak sampai 100,000 unit setahun," katanya.
LAPORAN SEPARUH TAHUN 2017 GEELY AUTO
Geely Auto Group iaitu anak syarikat Zhejiang Geely Holding Group yang menjual kenderaan di bawah jenama Geely Auto mengeluarkan laporan kewangan separuh tahun syarikat itu, baru-baru ini.
Laporan tersebut secara tidak langsung menyokong kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan itu berhubung kerjasama strategik antara DRB - Hicom dan Geely tersebut.
Berdasarkan laporan itu, pendapatan Geely Auto untuk separuh pertama 2017 sahaja telah mencapai RMB39.424 bilion (RM25.37 bilion) iaitu naik 118 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Keuntungan untuk separuh tahun pertama 2017 pula mencapai RMB4.344 bilion (RM2.79 bilion) meningkat 128 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Sebanyak 530,627 unit kenderaan dijual pada separuh tahun pertama 2017 iaitu peningkatan 89 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas dan mencapai 48 peratus daripada matlamat 2017 yang diselaraskan.
Geely Auto Group yang ditubuhkan pada tahun 1997 mengendalikan 11 buah kilang dan mengeluarkan kenderaan di bawah jenama Geely Auto. Kenderaan Geely dijual menerusi rangkaian lebih 800 pengedar di China dan anggaran 350 cawangan jualan dan servis di pasaran luar negara.
Must-Watch Video