Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terdapat lebih 285 juta orang kurang upaya (OKU) penglihatan di seluruh dunia ketika ini dengan 100,000 daripadanya di Malaysia.

Bagaimanapun, Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) menhyatakan hanya kira-kira 50,000 OKU di Malaysia berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) manakala 50,000 OKU lagi belum berdaftar atas sebab tertentu.

Pendedahan MAB itu selaras dengan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim pada Mei lalu bahawa hanya 420,201 OKU dalam pelbagai kategori sudah berdaftar dengan JKM.

Pada tahun 2015 sahaja, dianggarkan terdapat lebih 4.2 juta OKU di Malaysia termasuk cacat penglihatan sekali gus menimbulkan persoalan mengenai nasib mereka yang belum mendaftar waktu ini.

CABARAN CARI REZEKI HALAL

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Menurut MAB, menjalani hidup sebagai seorang cacat penglihatan bukan mudah dan amat berat.

Antara cabaran utama mereka adalah mendapatkan peluang pekerjaan bagi menyara diri dan keluarga kerana tidak banyak pekerjaan ditawarkan kepada mereka.

Situasi itu menyebabkan hanya sejumlah kecil golongan itu mampu berdikari manakala ramai antara mereka yang tidak mempunyai kemahiran terpaksa mengemis atau menjual tisu dari meja ke meja sebagai sumber rezeki.

Sejumlah besar lagi hanya mampu mengharapkan belas ehsan ahli keluarga dan orang ramai demi meneruskan hidup.

OCBC Bank prihatin terhadap nasib golongan OKU penglihatan apabila menyumbangkan RM36,800 sebagai penaja korporat.

MENYELAMI HIDUP OKU PENGLIHATAN

Bukan sukar untuk menyelami hidup sebagai OKU penglihatan. Pejamkan mata dan berjalan ke destinasi tertentu. Berjalan pada jarak cuma beberapa meter sudah cukup untuk membuatkan anda insaf dan memahami.

Itu pendekatan yang dilakukan oleh Kelab Lions Kuala Lumpur, Seri Petaling dan OCBC Bank dalam menyedarkan orang ramai tentang kepentingan membantu golongan OKU penglihatan.

Program Charity Walk For Sight yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini memberi peluang kepada mereka yang celik penglihatan untuk mengalami apa yang dirasai oleh golongan cacat penglihatan.

Kelab Lions Kuala Lumpur dan OCBC Bank dalam satu kenyataan berkata, menerusi program itu, peserta dikehendaki berjalan menutup mata dengan sokongan pembantu yang dapat melihat sejauh satu kilometer di sekitar Brickfields.

Program untuk amal yang disertai seramai 300 peserta itu bermula pada pukul 7.30 pagi di Kompleks MAB di situ dan berakhir beberapa jam kemudian.

“Sekarang saya sudah faham dan belajar bagaimana untuk membantu orang cacat penglihatan melintas jalan.

"Kita mesti berfikir dengan cara mereka berfikir, bukan dengan cara orang celik penglihatan fikir," akui salah seorang peserta berkenaan.

KUTIP DANA BANTU OKU

Menurut Kelab Lions Kuala Lumpur dan OCBC Bank, program itu bertujuan mengumpul dana untuk membantu golongan istimewa itu dan ia berjaya mencatat kutipan sebanyak RM47,350 dan OCBC Bank sahaja menyumbangkan RM36,800 sebagai penaja korporat.

Pengerusi MAB, Thavasothy S.Mailvaganam Pillai berkata, pihaknya memang bergantung kepada sumbangan orang ramai dan acara-acara seperti itu bagi membantu golongan OKU penglihatan.

"Hakikatnya, seperti juga anda, setiap orang buta menginginkan hidup berdikari. Apa yang golongan ini harapkan adalah sedikit pemahaman, kesedaran, dan ehsan," katanya.