Di mana saja pasti ada penggemar kopi dan atas faktor itu, kopi menjadi menu wajib ditawarkan di mana-mana restoran, kafe mahupun gerai di tepi jalan.

Keenakan kopi bukan saja membuatkan ramai yang terpikat tetapi tetapi kajian sains juga telah membuktikan kandungan kafein dalam kopi mampu menghilangkan rasa mengantuk, menajamkan daya tumpuan dan juga menambahkan tenaga badan.

Menurut laporan terbaru daripada Mordor Inteligence, kopi merupakan minuman yang mendapat sambutan paling tinggi dalam kalangan negara membangun seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun dan sebahagian negara Eropah.

Ianya juga merupakan komoditi yang paling banyak diperdagangkan di dunia selepas petroleum. Malah, nilai pasaran runcit bagi kopi dianggarkan sebanyak AS$48 billion (RM201.38 billion).

Selain daripada kopi, turut menjadi pilihan ramai adalah minuman ringan berkarbonat. Bagi peminat air kategori ini pula, suatu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi adalah Coca-Cola. Jenama terkenal ini sudah wujud semenjak 131 tahun lalu dan impaknya dapat dilihat melalui analsis terbaru yang dikeluarkan oleh majalah Forbes.

Mengikut majalah perniagaan yang berpengaruh tersebut, Coca-Cola bukan sahaja tersenarai sebagai salah satu daripada syarikat paling inovatif tetapi juga merupakan antara jenama yang paling bernilai di dunia.

Jadi apa agaknya yang akan terjadi seandainya minuman kopi digabungkan dengan Coca-Cola? Negara matahari terbit, Jepun, kini sudah mempunyai jawapannya!


JEPUN BERSAMA KISAH MESIN LAYAN DIRI

Umum sudah mengetahui, jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain yang ada di dunia, Jepun merupakan antara negara yang paling unik. Baik dari sudut budaya, teknologi mahupun cara kehidupan seharian masyarakat setempat, serba-serbi yang terdapat di negara ini agak berlainan.

Antara keunikan yang terdapat di sana dan sekiranya anda berkunjung ke negara ini adalah betapa banyaknya bilangan mesin layan diri. Anda hanya perlu berjalan beberapa langkah sahaja di kawasan bandar dan anda akan bertemu dengan deretan panjang mesin layan diri.

Di sini, anda boleh jumpa mesin layan diri yang menjual pelbagai barangan termasuk minuman ringan, kopi, teh, rokok, gula-gula, aiskrim, sup, sushi, makanan panas seperti nasi dan mi segera, sake, arak, telur ayam, kamera pakai buang, payung, bunga, kertas tilikan nasib, majalah, buku dan banyak lagi.

Malah, jangan pula anda terkejut apabila mengetahui bahawa terdapat juga mesin layan diri yang menjual kereta dan anjing peliharaan!

Mengikut angka yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengeluar Mesin Layan Diri Jepun, terdapat lebih kurang satu mesin layan diri bagi setiap 23 bilangan penduduk di Jepun. Nilai jualan tahunan industri tersebut pula dianggarkan melebihi AS$60 billion (RM251.42 billion).

Lebih menakjubkan lagi adalah kesemua mesin ini berada pada keadaan yang baik dan amat sukar untuk kita temui mesin yang menjadi mangsa vandalisme.

Kini, satu lagi produk bakal ditawarkan secara eksklusif di Jepun melalui mesin layan diri iaitu minuman gabungan Coca-Cola dan kopi!


DUA MINUMAN POPULAR KINI BERGABUNG

Salah satu jenama minuman kopi dalam tin yang popular adalah Georgia dan ianya merupakan salah sebuah anak syarikat milik Coca-Cola. Malah, nama Georgia diberi sempena nama negeri kelahiran syarikat minuman berkarbonat tersebut iaitu Georgia, AS.

Memandangkan sambutan yang diberikan oleh masyarakat terhadap kopi dan juga Coca-Cola (seperti yang telah diterangkan sebelum ini), maka lahirlah campuran kedua-duanya yang diberi nama Coca-Cola Coffee Plus.

Cetusan idea unik dari Coca-Cola Jepun ini baru sahaja dipasarkan pada September lalu dijual pada harga 130 yen (RM4.89) setin. Bersaiz 190 ml, ianya mengandungi nilai 42 kalori dan 34 mg kafein.

Pada harga yang ditawarkan tersebut, ianya agak mahal sedikit jika dibandingkan dengan minuman berkarbonat pada saiz yang sama. Bagaimanapun, ianya agak berpatutan apabila dipadankan dengan harga kopi dalam tin lain. Nilai kalorinya juga adalah 50 peratus kurang berbanding Coca-Cola biasa manakala nilai kafeinnya pula adalah 50 peratus lebih.

Bau Coca-Cola Coffee Plus ini lebih cenderung kepada kopi tetapi rasanya pula adalah sebaliknya.

SEDAP KE PERISA BARU NI?

Laman sesawang SoraNews24 yang telah mencuba Coca-Cola Coffee Plus mendapati sekiranya minuman tersebut dituang ke dalam gelas, kita boleh dapati bahawa jumlah buih pada bahagian atas adalah jauh lebih banyak berbanding dengan minuman berkabonat yang biasa. Dari segi baunya pula, ianya adalah sama sahaja seperti secawan kopi.

“Sekiranya anda menutup mata (dan juga telinga, supaya anda tak dengar bunyi buih bergas) dan kemudiannya mengambil bau, anda akan menyangka bahawa ianya adalah kopi tulen,” tulis laman tersebut.

Anehnya, walaupun bau Coca-Cola Coffee Plus ini lebih cenderung kepada kopi, rasanya pula adalah sebaliknya!

“Walaupun aroma kopinya sangat kuat, rasanya tidak begitu berbeza jika dibandingkan dengan Coca-Cola biasa walaupun ianya adalah perisa yang lebih pekat sedikit,” tambah mereka lagi.

Seandainya anda tertanya mengapa anda perlu membeli minuman campuran ini sekiranya rasanya sama sahaja dengan Coca-Cola biasa, anda perlu juga mengambil kira bahawa ia mempunyai nilai kalori yang lebih rendah dan jumlah kafein yang lebih tinggi.

Laman Shin-Shouhin pula mempunyai pendapat yang berbeza dengan SoraNews24, baik dari segi bau mahupun rasa Coca-Cola Coffee Plus. Menurut mereka, aroma daripada minuman tersebut tidak begitu menyelerakan dan tidak sama seperti kopi mahupun Coca-Cola.

Dari segi rasa pula, walaupun pada permulaan adalah seperti Coca-Cola biasa, rasa yang akan kekal dalam mulut anda (aftertaste) adalah rasa kopi.

“Kami berpendapat bahawa rasanya tidaklah sedap tetapi tidaklah juga seteruk sangkaan awal kami,” tulis laman sesawang tersebut.


ANDA TERINGIN MENCUBA PERISA LAIN?

Walaupun keunikan rasa Coca-Cola yang asli sudahpun dikenali dan digemari ramai, Coca-Cola Coffee Plus bukanlah kali pertama jenama terkenal itu mencuba perisa baru.

Sekiranya anda merasakan gabungan minuman tersebut dengan kopi adalah pelik, apa pula pendapat anda tentang Coca-Cola Green Tea? Ya, pada tahun 2009 Jepun memperkenal Coca-Cola dengan perisa teh hijau!

Mengikut seorang wanita yang telah mencubanya minuman tersebut di dalam satu video di YouTube, rasanya adalah seperti “air sisa”. Antara perisa Coca-Cola lain yang pernah dikeluarkan termasuklah oren, rasberi, cerri hitam dan ada juga perisa bacon pernah dihasilkan walaupun tidak pernah dijual di pasaran.

Jadi, anda pula bagaimana? Tertarikkah anda untuk mencuba Coca-Cola Coffee Plus ataupun perisa lain yang disebutkan? ataupun mungkin penggemar setia kopi benci dengan apa jua inovasi campuran yang diperkenalkan.