Pernahkah anda menonton filem Hollywood, 'Guardians of the Galaxy'? dibintangi pelakon hebat seperti Chris Pratt, Zoe Saldana, Dave Bautista, Vin Diesel dan Bradley Cooper, ianya mengisahkan sekumpulan adiwira yang ditugaskan melindungi dan menjaga keselamatan alam semesta.

Meskipun, ianya hanya merupakan cerita rekaan berdasarkan komik popular terbitan Marvel, tahukah anda bahawa di dalam dunia realiti sememangnya wujud tugasan seperti pasukan 'Guardians of the Galaxy'?


BUMI PERLUKAN PERLINDUNGAN

Agensi Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) baru-baru ini telah mengiklankan kekosongan bagi jawatan “Pegawai Perlindungan Planet”. Walaupun jawatan ini tidak memerlukan anda untuk berperang dengan makhluk asing, anda masih perlu melindungi bumi dari ancaman luar.

Bezanya adalah ancaman yang dimaksudkan adalah daripada pencemaran, mikroba (organisma bersaiz sangat kecil) dan virus asing. Pegawai ini juga bertanggungjawab memastikan sebarang misi angkasa lepas dari bumi tidak mencemarkan planet-planet lain.

Walaupun berita ini kedengaran seperti bahan gurauan dan lawak jenaka, jawatan ini sebenarnya sudah wujud bertahun lamanya iaitu semenjak Amerika Syarikat (AS) menandatangani Perjanjian Angkasa Luar pada tahun 1967. Bayaran yang bakal diterima adalah sekitar RM533,502 (AS$124,406) sehingga RM801,908 (AS$187,000) setahun.

Mengikut laporan Business Insider, hanya terdapat dua jawatan sepenuh masa seperti ini iaitu satu di NASA dan satu lagi di Agensi Angkasa Eropah.


PERMOHANAN SI CILIK

Kekosongan jawatan yang diiklankan itu telah mendapat sambutan hangat dan permohonan diterima daripada beberapa ahli fizik, matematik dan jurutera terkemuka di AS. Namun, satu permohanan yang menarik perhatian ramai adalah daripada seorang pelajar lelaki berusia sembilan tahun bernama Jack Davis.

Pelajar yang berasal dari New Jersey itu menggelarkan dirinya seorang 'Guardians of the Galaxy' dan menghantar permohanan kepada NASA melalui surat yang ditulis tangan. Surat yang bertarikh 3 Ogos 2017 itu dimuat naik menerusi akaun Twitter rasmi NASA dan mempunyai kandungan seperti berikut:

Kehadapan NASA,

Nama saya adalah Jack Davis dan saya ingin memohon untuk mengisi jawatan Pegawai Perlindungan Planet. Walaupun saya baru berusia sembilan tahun, saya merasakan bahawa saya memenuhi keperluan jawatan tersebut. Salah satu sebabnya adalah kerana kakak saya mengatakan saya seorang makhluk asing.

Seterusnya, saya sudah menonton hampir kesemua filem berkaitan angkasa lepas dan makhluk asing yang mampu saya tonton. Saya juga sudah menonton siri televisyen Marvel Agents of Shield dan berharap dapat menonton filem Men in Black. Saya juga seorang yang hebat apabila bermain permainan video. Saya masih muda, jadi saya boleh belajar untuk berfikir seperti seorang makhluk asing.


Yang benar,
Jack Davis
Guardian of the Galaxy
Darjah Empat

RESPONS NASA

Biarpun pihak NASA boleh mengendahkan atau membuang terus surat tersebut, mereka bertindak sebaliknya dengan menghantar surat balas kepada Davis,yang juga dimuat naik di akaun Twitter agensi angkasa lepas itu. Kandungan surat balas tersebut adalah seperti berikut:

Kehadapan Jack,

Saya mendapat perkhabaran bahawa anda adalah seorang ‘Guardian of the Galaxy’ dan anda berminat menjadi Pegawai Perlindungan Planet NASA. Itu adalah bagus!

Jawatan Pegawai Perlindungan Planet kami sememangnya mengasyikkan dan merupakan tugas yang sangat penting. Ianya berkaitan dengan kerja melindungi bumi daripada mikroba kecil apabila kami membawa pulang sampel dari bulan, asteroid dan planet Marikh. Ianya juga berkaitan dengan tugas melindungi planet dan bulan yang lain dari kuman-kuman kita semasa kita melakukan penjelajahan sistem solar secara bertanggungjawab.

Kami sentiasa mencari saintis dan jurutera pintar masa hadapan untuk membantu kami, maka saya berharap anda akan belajar dengan bersungguh-sungguh dan mencapai kecemerlangan di sekolah. Kami berharap dapat bertemu anda di NASA suatu hari nanti!

Yang benar,
Dr. James L. Green
Pengarah, Bahagian Sains Antara Planet

Tidak cukup dengan itu, NASA juga mengatakan bahawa Davis telah menerima panggilan telefon daripada Pengarah Penyelidikan Antara Planet NASA, Jonathan Rall yang mengucapkan tahniah kepada Davis di atas minatnya terhadap jawatan yang diiklankan NASA itu.

“Kami di NASA amat suka untuk mendidik kanak-kanak mengenai angkasa lepas dan memberikan mereka inspirasi untuk menjadi generasi pengembara yang akan datang,” ujar Green.

“Anggaplah ia seperti bantuan graviti – satu dorongan positif yang mampu merubah selama-lamanya perjalanan hidup seseorang dan juga kesan peninggalan kita di alam semesta ini,” tambahnya lagi.

Mungkinkah dalam tempoh masa 20 tahun akan datang kita akan dapat melihat Davis berkerja di NASA? Mungkin juga ketika itu Malaysia sudah mempunyai program perlindungan planet sendiri. Adakah anak kecil anda pula yang akan nanti memohon jawatan kosong program tersebut?