Kes penipuan atau dikenali sebagai ‘scammer’ ini memang tidak akan berakhir kerana ada saja modus operandi terbaru digunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Jika anda fikir masalah membabitkan 'scammer' ini tidak serius, jumlah kerugian dialami mangsa sejak tahun lalu mencatatkan sebanyak RM113.11 juta mungkin mengubah tanggapan anda.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), kes penipuan menerusi panggilan dan SMS sehingga Oktober 2017 yang direkodkan berjumlah 3,069 kes.

Kes ini bertambah sebanyak 112 peratus berbanding tahun lalu sebanyak 1,461 kes.

PLATFORM BARU REKOD PERGERAKAN 'SCAMMER'

Anda boleh cuba layar laman web ini untuk semak butiran scammer.
Jadi, adakah kita sebagai pengguna mempunyai pilihan atau langkah persediaan untuk membanteras kegiatan ini?

Perkongsian seorang pengguna di Twitter pada Isnin lalu mungkin sedikit sebanyak boleh membantu anda.

Berdasarkan perkongsian individu dengan akaun Koraro menerusi laman sesawang scam.my menghimpunkan segala makluman berkaitan 'scammer'.
Anda hanya perlu masukkan nombor telefon, akaun bank dan beberapa maklumat tambahan.

Hanya klik pada ruang carian dan jika butiran yang dimasukkan itu dikesan sebagai 'scammer', segala maklumat mengenai pihak terbabit akan dinyatakan.

JANGAN MUDAH PUAS HATI

Bagaimanapun, nombor yang dimasukkan tidak semestinya tersenarai di dalam data laman sesawang berkenaan kerana hanya kes yang dilaporkan sebagai scam saja direkodkan.

Jika nombor dimasukkan tidak tersenarai, anda juga harus berhati-hati.

Berdasarkan laman sesawang tersebut, sebanyak 394 'scammer' telah direkodkan. Setiap nama pihak terbabit turut disertakan jumlah kes yang telah dilaporkan oleh mangsa.

Selain itu, jenis dan nama platform yang digunakan oleh 'scammer' ini untuk memerangkap mangsa juga disertakan.

Sentiasa berhati-hati jika nombor dimasukkan tidak tersenarai sebagai scammer.