Jika membayangkan aroma vanilla, pasti menganggap ia berasal dari tumbuhan istimewa dari luar negara dan susah untuk ditemui.

Aroma vanila yang harum dan mengasyikkan, menjadikan ia antara bahan utama dan pilihan hampir semua pengeluar haruman termasuk minyak wangi kenderaan, kediaman dan diri.

Sebut sahaja vanila,sudah pasti hampir semua daripada kita dapat mengecam bau harum berkenaan tetapi jika ditanya adakah anda tahu rupa pokok vanila? Mesti ramai geleng kepala kan.


VANILA MAHAL

Tahukah anda, vanila merupakan sejenis tumbuhan keluarga orkid yang berasal dari Mexico dan kini banyak ditanam di kawasan tropika. Tumbuhan unik itu ditemui oleh orang Sepanyol yang diketuai oleh Bernal Diaz del Castillo pada 1952.

Difahamkan, terdapat 100 jenis spesis vanila tetapi hanya sedikit yang dikenal pasti mempunyai nilai komersil iaitu Vanila planifolia Andrews dan Vanilla tahitensis JW Moore.

Percaya atau tidak, vanila yang berkualiti tinggi mampu mencecah sehingga RM1,800 sekilogram.

Menyedari permintaan tinggi di pasaran, seorang anak muda tempatan komited mengusahakan tanaman pokok vanila di kampung halamannya di Kampung Parit Bangau, Temerloh.

Siapa sangka vanila, sudah 'menjelajah' ke serata dunia untuk dijadikan bahan perisa bagi juadah makanan atau hidangan pencuci mulut seperti pastri, kek dan ais krim dan bahan pewangi.


BOLEH KE TANAM KAT SINI?

Vanila yang ditanam sebelum dibungkuskan untuk dijual.


Pengusahanya, Mohd Feisal Mohd Norawi, 35, berkata proses menanam sehingga mendapatkan hasilnya yang agak rumit menyebabkan harganya menjadi mahal.

"Bunganya hanya mekar satu hari dan kita kena lakukan proses pencantuman sebelum jam 12 tengah hari. Selepas proses pencantuman, esoknya kita boleh lihat sekiranya ia berjaya atau tidak.

"Jika berjaya, kita kena tunggu selama lapan bulan untuk menjadi buah sebelum boleh dituai. Selepas itu, buah berkenaan akan melalui proses pengeringan pada cuaca panas selama satu bulan sebelum boleh dijual,” katanya.

Beliau berkata, tanaman itu sudah dieksport ke beberapa negara di Asia Barat, Singapura, United Kingdom (UK) dan Jerman malah turut mendapat permintaan di Amerika Syarikat (AS).

Beliau yang kini bekerja di agensi swasta berkata dia memulakan tanaman itu sejak tahun 2008 di atas tanah milik keluarganya seluas 1.2 hektar dan mula mengeluarkan hasil empat tahun selepas itu.

Hasil pokok vanila memdapat permintaan tinggi dari luar negara seperti Jerman dan Amerika Syarikat.

Berkongsi pengalaman mula mengusahakan tanaman berkenaan, Feisal berkata, beliau menerima biji benih vanila daripada seorang rakan lamanya.

“Saya hanya bergantung maklumat yang diperolehi daripada Internet untuk memulakan proses penanaman tanpa pergi ke mana-mana kursus,” katanya.

Katanya, vanila mempunyai potensi kerana ia sesuai ditanam di Malaysia berikutan negara ini terletak di garisan Khatulistiwa.

"Saya adalah antara tiga penanam vanila di Malaysia, selain di Jerantut serta Sabah. Saya masih melakukan penyelidikan dalam usaha menghasilkan vanila organik yang tidak menggunakan bahan kimia dan halal,” katanya.